suria

Perhimpunan Bantah TPPA Hanya Boleh Dibuat Di Padang Merbok

KUALA LUMPUR: Peserta perhimpunan Bantah TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik) pada hari Sabtu ini hanya dibenarkan menggunakan Padang Merbok dengan permit yang diperlukan daripada pihak polis.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Amin Nordin Abd Aziz berkata, permohonan penganjur untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka dan Jalan Raja telah ditolak dan mereka telah diberi tempat alternatif.

"Kami telah membincangkan perkara itu dan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio Ekonomi) DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur)  Mohd Saufi Muhamad berjumpa dengan mereka hari ini (Rabu) untuk membincangkan isu ini.

"Kami telah membenarkan mereka menggunakan Padang Merbok tetapi mereka juga perlu mendapatkan permit yang diperlukan daripada pihak polis, " katanya.

"Walaupun mereka pada mulanya tidak bersetuju, saya diberitahu lewat petang semalam bahawa mereka bersedia untuk mengubahnya.

"Kami akan berjumpa dengan mereka sekali lagi hari ini untuk membentangkan tawaran itu dan untuk mereka membayar deposit sebanyak RM10,000 ke RM20,000," katanya.

Amin Nordin berkata Dataran Merdeka bukan tempat untuk berkumpul dan seperti perhimpunan sebelum ini, memetik perhimpunan Bersih, hanya Padang Merbok adalah lokasi sesuai.

Perhimpunan, yang dijangka bermula pada jam 2 petang Sabtu ini akan menyaksikan penunjuk perasaan berkumpul di Masjid Jamek, Masjid Negara, Maju Junction dan Jalan Raja Laut.

Bantahan itu akan diadakan selama dua hari sebelum Parlimen khas bersidang untuk membahaskan dan mengundi TPPA.

Antara kumpulan yang dijangka menyertai perhimpunan tersebut adalah Bersih 2.0, PAS, Parti Sosialis Malaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Artikel Lain