suria

Tiada Hentian HSR Di Putrajaya

KUALA LUMPUR: Keretapi berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Malaysia -Singapura tidak akan berhenti di Putrajaya, MyHSR Corp mengesahkan.

Ketua Eksekutif MyHSR Corp Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata HSR sepatutnya berkongsi sebahagian daripada landasan dengan Express Rail Link (ERL).

Walau bagaimanapun, kos yang lebih tinggi, perjanjian yang lebih kompleks dan potensi risiko keselamatan telah menyebabkan ia tidak dilaksanakan.

"Dengan menggunakan landasan ERL untuk HSR, secara semula jadi Putrajaya akan termasuk dalam jajarannya.

"Tetapi selepas melihat maklum balas tertentu daripada pakar-pakar teknikal, kerajaan memutuskan untuk tidak berhenti di Putrajaya," katanya kepada The Star.

Rundingan sedang berjalan antara Singapura dan Malaysia untuk projek berjarak 350km itu sebelum tender antarabangsa dijangka dibuka akhir tahun depan.

Ini bermakna hentian HSR yang seterusnya selepas KL adalah Seremban.

Mohd Nur berkata, keretapi HSR akan bergerak pada kelajuan yang lebih cepat daripada gerabak ERL, yang pada masa ini bergerak pada kelajuan atas 160kph.

Katanya, ini bermakna kedua-dua keretapi perlu diselaraskan untuk melalui trek yang sama.

Selain perlu membayar kepada ERL Sdn Bhd untuk menggunakan landasannya, beliau menambah bahawa landasan itu juga perlu diubahsuai untuk membolehkan keretapi HSR lalu.

Setakat ini masih belum diketahui berapa pantas keretapi dari KL-SG akan bergerak, tetapi kebanyakan keretapi laju di dunia sekarang mencecah kelajuan sehingga 350kph.

Mohd Nur berkata, walaupun berkongsi trek dengan keretapi HSR adalah perkara biasa di negara-negara Eropah, masih terdapat risiko kemalangan.

"Jumlah kemalangan adalah sangat rendah, tetapi risiko sentiasa ada," katanya.

Ditanya apakah kesan daripada langkah ini, beliau berkata ia bermakna masa perjalanan akan menjadi lebih singkat antara KL dan Seremban.

Artikel Lain