suria

Lima Individu Sesat Cari Burung Ditemui

Kawasan hutan Hulu Bongor yang menjadi lokasi lima lelaki melakukan aktiviti mencari burung.

IPOH: Lima lelaki dikhuatiri sesat semasa melakukan aktiviti mencari burung di Hutan Kampung Hulu Bongor dekat Gerik sejak Isnin lepas ditemui selamat, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Datuk Yahya Madis.

Katanya mereka yang dikenal pasti iaitu Rosli Supiyan, 42, Zakaria Mokhtar,28, Husaini Rafei, 20, Zulfazli Abd Majid, 36, dan Mohd Zahid Mohd Maznan, 19, kesemuanya dari Kampung Bongor ditemui kira-kira tujuh kilometer dari lokasi mereka hilang, pukul 7.15 malam Khamis.

"Anggota bomba sedang membawa mangsa keluar dari hutan itu yang mengambil masa tiga atau empat jam berdasarkan bentuk muka bumi dan cuaca yang gelap,"katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Komander Operasi Bomba, Penguasa Bomba Zon 2 Perak, Mohamed Habib Mohamed Dali berkata mangsa ditemui dalam keadaan lemah oleh anggota bomba. 

"Setibanya di pusat kawalan bomba, mangsa akan diperiksa sebelum dibawa ke Hospital Gerik untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Mangsa dikatakan masuk ke hutan itu sejak Isnin lepas untuk melakukan aktiviti mencari burung dan kebiasaannya mereka akan pulang ke rumah hari yang sama sebelum waktu Maghrib.

Polis menerima panggilan kehilangan mangsa daripada ketua Kampung Bongor pada 8.30 malam Rabu dan operasi mencari dan menyelamat bermula pukul 8 pagi tadi.

Operasi yang dijalankan melibatkan 10 anggota bomba bersama-sama dua anggota polis dan 22 anggota pasukan Rela.    

Keluasan hutan tersebut adalah 500 kilometer persegi dan skop pencarian adalah 10 kilometer persegi.-Bernama

Cari burung, sesat

Artikel Lain