suria

Salam Disambut, Namun Drama Berpelukan Tak Kesampaian

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalam dengan Tan Sri Muhyiddin Yassi selepas selesai menyampaikan ucapan penggulungan, bagaimanapun hasrat perwakilan parti untuk melihat kedua-dua pemimpin itu berpelukan tidak menjadi kenyataan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2015, Sabtu.

KUALA LUMPUR: Hasrat dan harapan perwakilan Umno untuk melihat Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya saling berpelukan sebagai tanda berdamai akhirnya tidak kesampaian.

Lebih mengecewakan apabila keterbukaan Najib untuk menghulurkan tali perdamaian disambut dengan reaksi kekok Muhyiddin.

Suasana di atas pentas Dewan Merdeka berlaku dalam keadaan pantas terutama ketika Najib menghampiri Muhyiddin untuk bersalaman.

Pada ketika itu raut wajah kebanyakkan perwakilan dilihat mengharapkan dua kepimpinan utama mereka saling berpelukan seperti yang disuarakan perwakilan Umno pada sesi perbahasan sempena Perhimpunan Agung Umno 2015 yang berakhir Sabtu.

Bagaimanapun perkara itu tidak berlaku.

Namun ketika bersalaman, tangan kiri Najib dilihat cuba memaut sambil menepuk bahagian belakang bahu Muhyiddin.

Terdahulu ketika menyampaikan ucapan penggulungan dan penangguhan, Najib dilihat berjaya menaikkan semangat perwakilan hingga mereka berdiri dan menepuk tangan.

"Sebagai mengambil sempena ajaran Islam, saya nak beritahu bahawa saya Najib Razak sebagai Presiden Umno memilih untuk berjiwa besar.

"Saya memilih jiwa besar untuk membuka pintu serta jendela hati saya menghulurkan silaturahim kepada semua supaya kita dapat bersatu dan kembali kukuhkan ikatan Umno ini,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh.

Pengerusi Tetap, Tan Sri Badaruddin Amiruldin, barisan ahli Majlis Tertinggi Umno serta perwakilan berdiri sebagai tanda menyokong seruan Najib itu.

Namun Muhyiddin dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal tidak turut sama berdiri.

Melihat kepada tindak balas itu, Badaruddin segera meminta supaya Shafie berdiri dan beliau akhirnya akur.

Bagaimanapun, Muhyiddin tetap duduk ditempatnya tanpa mengendahkan reaksi keseluruhan yang berada di dalam dewan.





Artikel Sebelum

Artikel Lain