suria

MCA Akan Lancar Gerakan Peringkat Akar Umbi Hadapi PRU14

KUALA LUMPUR: MCA akan melancarkan kempen gerakan di peringkat akar umbi pada awal tahun hadapan bertujuan mendekati pengundi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata jentera parti akan memberi komitmen dan perkhidmatan terbaik kepada pengundi mereka menerusi kempen itu kelak.

"Kami hendak mendekati semua anggota MCA dan juga kawasan pengundi kami untuk memberikan semangat kepada mereka.

"Saya telah melantik Datuk Seri Wee Ka Siong sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Pemilihan MCA untuk menghadapi PRU14," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Anggota Jawatankuasa Pusat Kali Ke-13 di Bangunan Wisma MCA di sini, Sabtu.

Mengulas lanjut, Liow berkata transformasi parti kini berada di landasan yang tepat memandangkan parti itu mendapat sokongan amat memberangsangkan daripada peringkat akar umbi.

Liow juga mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ong Ka Chuan sebagai Pengerusi Perhubungan MCA Pulau Pinang baharu menggantikan Datin Paduka Chew Mei Fun.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) antara perkara yang turut dibincangkan dalam mesyuarat anggotajawatankuasa itu.

Beliau berkata kesemua Anggota Parlimen daripada MCA menyokong penuh usaha kerajaan menandantangani TPPA untuk memastikan ekonomi negara ini terus berkembang pesat.

"Dalam mesyuarat ini kami ada menjemput TKSU (Timbalan Ketua Setiausaha) Strategi dan Pemantauan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Datuk J.Jayasiri untuk memberi penjelasan lebih lanjut tentang TPPA ini,"katanya yang juga Menteri Pengangkutan.

Liow berkata apabila TPPA ditandatangani kelak, ia dapat meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dalam negara ini sekali gus merancakkan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Apabila lebih banyak negara asing melabur dalam negara ini, pelabur asing sudah tentu akan banyak menggunakan produk tempatan yang mana ia boleh memajukan sektor PKS negara," katanya. -Bernama

MCA, PRU14, TPPA

Artikel Lain