suria

Langkah Najib Buka Pintu Silaturahim Tanda Aras Baharu Kukuhkan Parti

KUALA LUMPUR: Langkah Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak membuka pintu silaturahim kepada 'penentangnya' adalah tanda aras baharu dalam mengukuhkan kesatuan dalam parti.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha ke arah perdamaian yang dirintis presiden itu amat dihargai para perwakilan dan diharap dapat menyatukan semula anggota Umno.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata selepas ini, keutamaan akan diberi kepada usaha merapatkan barisan dan bersatu bagi menghadapi pelbagai cabaran serta dugaan.

"Keutamaan adalah bagi merapatkan barisan, dan tangan telah dihulur dengan penuh jiwa besar. Ertinya beliau (Najib) mahu supaya perdamaian dapat diterjemahkan.

"Jadi terserahlah kepada yang berkenaan untuk sama ada menyambut huluran itu atau sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas sesi penggulungan perbahasan Perhimpunan Agung Umno di sini, Sabtu.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata perhimpunan itu yang diakhiri dengan semangat kesatuan telah membuktikan kepada pengkritik parti itu bahawa Umno masih kukuh.

"Saya rasa lega kerana sebelum ini macam-macam andaian dan menunding jari terhadap Umno. Macam-macam perkara dilontarkan terhadap kita tetapi akhirnya kebijaksanaan, ketabahan, kesabaran berjaya ditonjolkan oleh bukan sahaja pemimpin tetapi mereka yang dipimpin.

"Mereka telah menunjuk satu kesedaran yang amat besar maknanya kepada perjuangan bangsa," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata semangat yang ditunjukkan anggota Umno pada perhimpunan kali ini turut membuktikan kasih sayang dan kesetiaan mereka kepada parti tiada bandingannya, dan membolehkan parti itu meneruskan perjuangan.

"Sebarang ujian dan cabaran perlu diharungi dengan hati yang besar dan semangat luar biasa untuk kelangsungan parti demi agama, bangsa dan negara," katanya.

Kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu berkata demikian bagi mengulas langkah Najib menghulurkan tangan tanda silaturahim kepada 'penentang-penentangnya' semasa menggulung perbahasan pada akhir Perhimpunan Agung Umno 2015 di sini, Sabtu.

Najib bagaimanapun berkata tawaran itu jika ditolak, mereka bukan lagi menentangnya atas sifat peribadi, tetapi menolak kemahuan para perwakilan Umno. -- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain