suria

Mayat Mangsa Lemas Di Sungai Besi Dikenalpasti

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti identiti mayat seorang remaja lelaki Remy Julian Raymond Joe, 14, yang ditemui di Tasik Muhibbah, di Cheras merupakan seorang daripada mangsa yang dipercayai lemas di Sungai Kuyoh berdekatan Kem Perdana Sungai Besi, petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Chong Kok Sin berkata mayat mangsa ditemukan  pasukan bomba di tasik berkenaan pada kira-kira 10.30 pagi Selasa.

"Remy Julian ditemukan kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian di sungai berkenaan.

"Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas taklimat operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas, di sini.

Chong berkata pihak keluarga mangsa telah dimaklumkan penemuan mangsa di tasik berkenaan dan pengecaman telah dibuat oleh mereka pagi tadi.

"Operasi SAR mencari lagi dua mangsa masih diteruskan melibatkan 182 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Setakat ini operasi pencarian lagi dua mangsa tertumpu di Tasik Muhibbah yang berkeluasan 1,750 meter persegi," katanya.

Dalam kejadian 5.30 petang semalam, dua kanak-kanak dan seorang remaja lelaki hilang dibawa arus deras ketika sedang memancing di sungai berkenaan.

Sungai Kuyoh, Sungai Besi

Artikel Lain