suria

Wan Ahmad Najmuddin Dilantik Ketua Polis Johor

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, CP Datuk Zulkifli Abdullah (tengah) menyaksikan penyerahan nota serah terima tugas Pemangku Ketua Polis Johor, DCP Datuk Ramli Hassan (kiri) kepada Ketua Polis Johor yang baru, CP Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd (kanan) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Selasa.

JOHOR BAHARU: Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd dilantik sebagai Ketua Polis Johor yang baharu, berkuat kuasa Selasa.

Wan Ahmad Najmuddin, 57, mengambil alih tugas berkenaan daripada Ketua Cawangan Khas Kontinjen Johor, Datuk Ramli Hassan yang memangku jawatan Ketua Polis Johor sejak 3 Nov lepas.

Majlis serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan disaksikan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor disandang Datuk Rusli Ahmad yang kini bertugas sebagai Ketua Urus Setia (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman.

Majlis terbabit turut menyaksikan serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Johor daripada Datin Mahizah Abd Malik kepada Datin Musalma Mohd Saman yang disaksikan Pengerusi Perkep Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datin Noraini Abdul Jalil.

Wan Ahmad Najmuddin yang berasal dari Besut, Terengganu, berkata beliau akan menumpukan kesejahteraan rakyat selain berusaha membanteras jenayah di negeri ini.

"Saya berazam meneruskan usaha yang dilakukan bekas Ketua Polis Johor terdahulu bagi menurunkan kadar jenayah di negeri ini dengan beberapa perancangan termasuk mengadakan perjumpaan dengan komuniti setempat.

"Berkenaan kesejahteraan rakyat, saya akan bincang secara terperinci mengenainya bersama kepimpinan polis kontinjen Johor dalam masa terdekat," katanya yang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 1979.

Polis, Johor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain