suria

Ibu 'Dalam Keadaan Baik' - Anak Mangsa Culik

Thien Nyuk Fun
KOTA KINABALU: Pengurus restoran yang diculik, Thien Nyuk Fun menikmati tidur yang terbaik dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan dan pulang ke rumahnya di Sandakan.

Setelah berbulan-bulan berasa bimbang, tekanan dan kebimbangannya terlerai selepas bertemu semula dengan ibunya yang berusia 78 tahun, Chin Foh Tai dan dua anak lelakinya, Chung Chin Loong, 31, dan Chung Chin Vui, 26 pada Isnin.

"Kami semua sangat emosi dan gembira apabila bertemu ibu kami," kata Chin Loong ketika dihubungi The Star pada Selasa.

Chin Loong, yang enggan bercakap banyak berkata ibunya 'dalam keadaan baik' dan memerlukan rehat secukupnya dan tidak mahu diganggu pada masa ini.

"Dia kini menghabiskan masa untuk berehat, duduk bersama dengan kami dan pada masa ini kami tidak mahu bercakap dengan sesiapa mengenai kejadian itu," katanya.

Chin Loong berkata sekembalinya Thien ke rumah adalah sesuatu yang istimewa dan telah menyebabkan seluruh ahli keluarga berhimpun di rumahnya bagi menyambut kepulangannya.

"Kami diberitahu pada saat akhir bahawa dia (Thien) sedang dalam perjalanan kembali dengan pasukan keselamatan dan kami semua sangat terkejut, beremosi dan gembira pada masa yang sama. Kami segera menyediakan beberapa hidangan kegemarannya," katanya.

Apabila ditanya sama ada Thien menghabiskan masa dengan ibu tuanya, Chin Loong tidak mahu menjawabnya.

"Kita tidak mahu ramai orang atau pemberita berkerumun di rumah kerana pada ketika ini, kami hanya mahu bersama dengan ahli keluarga dan tidak diganggu," katanya.

Thien tiba di Sandakan awal Isnin, selepas menaiki bot selama enam jam dari pulau Jolo dan telah diserahkan kepada keluarganya selepas dibebaskan oleh kumpulan penculik Abu Sayyaf lewat malam Ahad.

Thien dan jurutera Bernard Then telah diculik dari restoran makanan laut Ocean King di Sandakan pada 14 Mei, dan dijadikan tebusan oleh kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina di Pulau Jolo.
mangsa culik, tebusan, Thien Nyuk Fun

Artikel Lain