suria

Peraturan Perasa Vape Dijual Di Farmasi 'Tindas' Perniagaan Anak Muda

PETALING JAYA: Peraturan terkini Kementerian Kesihatan ke atas penjualan perasa rokok elektronik (vape) yang mengandungi nikotin hanya akan membunuh industri yang didominasi oleh golongan muda, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata Kementerian Kesihatan perlu mengkaji semula keputusannya bahawa ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar sahaja yang boleh menjual perasa vape yang dicampur nikotin itu.

Beliau berkata langkah itu hanya akan membunuh perniagaan itu yang umumnya dimiliki oleh anak muda Melayu.

"Peraturan perasa vape hanya dijual di farmasi adalah mengarut dan tidak munasabah.

"Semua orang tahu syarikat farmasi dimiliki oleh 'tauke' besar termasuk dari luar negara.

"Paeraturan ini secara jelas bakal menindas anak muda kita yang mahu berjinak dalam perniagaan vape," kata Ismail Sabri di laman Facebooknya, Selasa.

Beliau berharap Kementerian Kesihatan dapat mengkaji semula cadangan mereka dengan mengambil kira kerugian yang akan ditanggung oleh perniagaan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada Isnin berkata, perasa e-rokok yang mengandungi nikotin, hanya boleh dijual oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar.

Beliau berkata, penjualan perasa e-rokok dengan nikotin memerlukan pendaftaran di bawah Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952.
vape, cecair vape, perasa vape, anak muda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain