suria

Kontinjen Malaysia Juara Keseluruhan Kejohanan World Robot Olympiad

SEPANG: Kontinjen negara muncul juara keseluruhan selepas menggondol tiga pingat emas, dua perak dan dua anugerah kecemerlangan pada Kejohanan World Robot Olympiad (WRO) ke-12, sekali gus menjadikan Malaysia juara keseluruhan buat kali kelima dalam tempoh tujuh tahun.

Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Rozainum Ahmad berkata kontinjen negara berjaya menebus kekecewaan merampas kembali gelaran tersebut selepas hanya muncul naib juara keseluruhan tahun lepas.

"Kontinjen negara berjaya menewaskan 43 negara lain dalam kejohanan kali ini dan kemenangan ini sangat kami banggakan," katanya kepada pemberita ketika menyambut kepulangan kontinjen negara dari Doha, Qatar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, Selasa ini.

Dalam kejohanan yang berlangsung di Doha dari 6 hingga 8 November lepas, kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 19 pasukan melibatkan 57 peserta, bertanding dalam tujuh acara.

Tiga pingat emas negara dimenangi oleh pasukan YC Adventure Kidz dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai, Petaling Jaya dalam kategori Terbuka Sekolah Rendah; pasukan Robotist dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 4, Subang Jaya dalam kategori Terbuka Menengah Rendah; dan pasukan Aramaitee dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu, Sabah dalam kategori Gen II Bola Sepak.

Wakil YC Adventure Kidz, Lim Yi Hang, 10, berkata pasukannya sangat gembira robot penjelajahan bawah air yang dicipta mereka berjaya menggondol pingat emas.

"Kami berharap ciptaan kami boleh pergi lebih jauh dan dikomersialkan. Kami juga belajar banyak perkara dalam pertandingan ini terutama dalam membuat pembentangan dan bertemu peserta dari negara lain," katanya.

Bagi wakil pasukan Robotist, C. Jaimishran, 15, pasukannya mengambil masa lapan bulan untuk menyiapkan projek yang dicipta untuk membantu tugas dan meningkatkan tahap keselamatan pelombong.

"Tahun lepas kami mengambil bahagian tetapi tidak menang. WRO merupakan pertandingan yang amat sengit, terdapat banyak pasukan dan banyak projek yang hebat, tetapi kami bekerja keras dan akhirnya menang," katanya.

Wakil pasukan Aramaitee, Zahin Arif Saiful Azian, 15, berkata robot pasukannya berjaya menewaskan pasukan Greece 5-3 dalam perlawanan akhir Gen II bola sepak.

"Sebelum ini kami sudah beberapa kali bertanding di WRO tetapi hanya berjaya sampai ke suku akhir, kali ini dapat jadi juara, kami sangat berpuas hati," katanya.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Lain