suria

Pembangunan Kampung Baru Demi Kemajuan Orang Melayu - Najib

KUALA LUMPUR: Rancangan pembangunan di Kampung Baru terletak di tengah ibu kota menjadi lambang kepada kemajuan orang Melayu yang merupakan majoriti penghuni di kawasan itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata kerajaan melaksanakan pelan pembangunan melalui penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) bertujuan memastikan orang Melayu tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara.

"Saya mahu orang Melayu menjadi satu komuniti yang maju dan mempunyai taraf sosial yang membanggakan," katanya.

Najib berucap pada Majlis Mesra Rakyat 'Kampung Baru, Legasi Baharu' disertai majlis pecah tanah Projek Legasi Kampung Baru, di sini pada Ahad.

Projek Legasi Kampung Baru dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM500 juta itu dimajukan UDA Holdings Berhad di atas tapak 1.14 hektar (2.858 ekar).

Ia antara lain merangkumi 639 unit kediaman setinggi 43 tingkat, 48 unit ruang niaga serta menara 30 tingkat.

Najib seterusnya berkata beliau mahu melihat penduduk Kampung Baru dapat meraih pendapatan yang tinggi rentetan pembangunan yang dilaksanakan di kawasan mereka.

Beliau turut menasihati penduduk berkenaan supaya tidak mudah menjual tanah setelah nilai hartanah yang dijangka meningkat selaras projek pembangunan yang dilaksanakan.

Najib menarik perhatian bahawa rancangan pembangunan di Kampung Baru turut memuatkan cadangan pembinaan sebuah pusat bandar yang menjadi 'core centre' kawasan itu.

Perdana menteri berkata pusat bandar itu akan mempunyai pejabat, hotel, kawasan persiaran dan infrastruktur moden lain.

Selain itu, pembangunan lain yang dirancang termasuk pembinaan pusat kraftangan dan kesenian Melayu, pembinaan pintu gerbang yang menjadi identiti Kampung Baru dan pelebaran laluan.

"Pembangunan yang dirancang termasuk pembinaan bandar dalam taman supaya ia menjadi bandar lebih selesa dan selamat selain pembinaan tiga taman rekreaksi," katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri bersetuju dengan cadangan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru Datuk Affendi Zahari supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memindahkan pusat pentadbirannya di Jalan Raja Laut ke Kampung Baru.

"Saya rasa ini cadangan baik dan saya tidak ada halangan dan saya beri sokongan," kata Najib yang bagaimanapun berpendapat keputusan mengenai perkara itu bergantung kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Kampung Baru, Najib Tun Razak

Artikel Berikut

Artikel Lain