suria

1MDB Sekali Lagi Jawab Tony Pua

KUALA LUMPUR: Syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Bhd pada Ahad mengulangi matlamat utama pelaburan ekuiti US$1 bilion dalam PetroSaudi International (PSI) adalah untuk mendapatkan 40 peratus pegangan ekuiti, yang telah dicapai.

Semua dana yang dibayar oleh 1MDB adalah mengikut perjanjian-perjanjian yang dilaksanakan dengan sewajarnya dan tertakluk kepada setiap terma undang-undang, bayaran dibuat kepada akaun bank atas arahan PSI.

1MDB berkata demikian dalam kenyataan hari ini untuk menjelaskan lagi mengenai beberapa perkara memandangkan dakwaan lama dan gambaran tertentu maklumat yang dibangkitkan semula anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mengelirukan orang ramai.

PSI mengesahkan semua dana yang dipindahkan atas arahannya telah diterima dan tiada lagi baki hutang tertunggak dalam syarikat usaha sama, apabila 1MDB memperoleh pemilikan.

Semua maklumat berhubung pindahan itu, termasuk perjanjian berkaitan yang dilaksanakan dan aliran dana, dibentangkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

Selain itu, adalah penting untuk menjelaskan bahawa nilai ekuiti keseluruhan dan pelaburan murabahah US$1.83 bilion oleh 1MDB dalam PSI akhirnya meningkat melalui satu siri urus niaga kepada US$2.33 bilion dalam bentuk unit dana setakat 31 Mac, 2014.

"Kami telah menjelaskan, paling terbaru pada 10 Okt, 2015, bagaimana US$1.39 daripada jumlah ini ditebus dalam tunai, meninggalkan baki US$940 juta dalam bentuk unit dana yang akan menjadi sebahagian daripada 'pertukaran hutang kepada aset' dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) dari Abu Dhabi," tegas 1MDB.

1MDB turut menjelaskan dakwaan Pua bahawa syarikat itu memerlukan jaminan keluar adalah salah.

Syarikat itu berkata penjualan Edra Global Energy Bhd, digabungkan dengan RM16 bilion 'pertukaran hutang kepada ekuiti' dengan IPIC yang diumumkan sebelum ini dan jualan ekuiti dalam Bandar Malaysia, akan mengurangkan hutang 1MDB sehingga RM42 bilion.

"Angka itu tidak termasuk tunai yang kami jangka akan dijana daripada jualan baki tanah di TRX, Pulau Indah dan di Pulau Pinang," katanya.

"Jika Pua benar-benar mahukan kebenaran, beliau sepatutnya membiarkan pihak berkuasa meneruskan siasatan mereka dan mengikut setiap proses, membahaskan keputusan tersebut dalam forum yang sewajarnya, seperti Jawatan Kuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Parlimen," menurut kenyataan itu.

1MDB, Tony Pua

Artikel Lain