suria

Mesyuarat 'Pre-Council' BN Amalan Biasa - Nazri

KUALA LUMPUR: Mesyuarat 'pre-council' Barisan Nasional (BN) yang akan diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad malam adalah amalan biasa yang diadakan sebelum bermulanya mesyuarat  persidangan Dewan Rakyat.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata  banyak perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat malam ini termasuk rang undang-undang, isu kontroversi dan pelbagai lagi, bagaimanapun isu mengenai Bajet 2016 tidak akan dibincangkan.

"Tiada yang luar biasa mengenainya ia diadakan setiap kali Dewan Rakyat mula bersidang dan diadakan beberapa kali dalam setahun," katanya kepada pemberita selepas melancarkan ASEAN Media Bloggers Tourism Hunt di sini, Ahad.

Seramai 40 peserta dari negara ASEAN mengambil bahagian dalam program lima hari meliptui Putrajaya, Port Dickson dan berakhir di Melaka bagi mempromosikan produk dan destinasi pelancongan di negara ini.

Nazri berkata perkara berkaitan bajet tidak akan dibincangkan malam ini dan ia hanya akan dibawa dalam mesyuarat jemaah menteri yang akan datang.

Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam juga berkata mesyuarat malam ini perkara biasa dan menjadi amalan BN untuk membincangkan terdahulu mengenai agenda-agenda yang bakal dibahaskan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-13 yang akan bermula esok.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC di Menara Felda di sini, hari ini.

Subramian turut menegaskan parti itu akan sentiasa menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana beliau telah melakukan pelbagai transformasi bagi masyarakat India selama ini.

"Sudah pasti kami menyokong PM (Najib) 110 peratus. Jika ada isu kita selesaikan secara dalaman bukan di Parlimen," kata Dr Subramaniam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain