suria

Jangan Politikkan Usul Undi Tidak Percaya - Azalina

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian berhak mengemukakan notis usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang Dewan Rakyat, Isnin.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, berdasarkan Peraturan Mesyuarat 15 (1), urusan kerajaan perlu diberi keutamaan.

"Saya berharap isu berkaitan usul yang dikemukakan oleh YB PJS (Hee) tidak perlu dipolitikkan khususnya oleh pihak-pihak berkepentingan untuk mengelirukan rakyat.

"Parlimen Malaysia sememangnya sentiasa mendukung prinsip demokrasi yang tinggi, maka semua Ahli Parlimen mempunyai hak seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan dan Peraturan Mesyuarat," katanya menerusi kenyataan di blog azalinaothmansaid.com.my pada Ahad.

Usul yang dikemukan Loy Sian daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung undi tidak percaya kepada Najib disenaraikan pada kedudukan ke-25 daripada 28 usul untuk dibahaskan apabila Dewan Rakyat mula bersidang pada Isnin.

Wakil rakyat itu menyenaraikan beberapa sebab untuk memulakan usul itu termasuk isu wang RM2.6 bilion yang diterima Najib dalam akaun peribadinya serta berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain itu, Azalina yang kini mengendalikan dalam hal ehwal Parlimen menasihatkan semua wakil rakyat supaya bertanggungjawab sebelum mengemukakan sebarang usul persendirian ke Dewan Rakyat.

"Saya berharap mana-mana Ahli Parlimen sentiasa bertindak mendukung prinsip kebertanggungjawaban khususnya dalam mengemukakan mana-mana Usul Persendirian supaya tidak berdasarkan kepada andaian atau spekulasi semata-mata serta tidak melanggar apa-apa syarat Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

"Kami di barisan kerajaan yakin bahawa Tuan Yang di-Pertua seperti biasa akan memberi pertimbangan yang saksama dan adil kepada semua Usul yang telah dikemukakan mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya.

Artikel Lain