suria

"BN Jangan Lupa Kesetiaan Kami" - Pemuda MIC

C. Sivarraajh
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mesti terus setia kepada MIC dan menyokong parti itu yang kini sedang berdepan krisis, kata Ketua Pemuda C. Sivarraajh.

Beliau berkata MIC terus setia kepada BN semasa krisisnya sendiri dan menyokongnya ketika pilihan raya.

"Apabila BN melalui kesukaran dan krisis, MIC kekal teguh dalam memberikan sokongan.

"Apabila kita (MIC) berada di dalam krisis, kita berharap BN tidak lupa kesetiaan dan memberi sokongan kepada kami," katanya ketika berucap pada Konvensyen Pemuda di sini.

Sivarraajh berkata tidak ada alasan untuk BN mempertimbangkan parti alternatif bagi menggantikan MIC sebagai sebuah parti tunggal berasaskan kaum India dalam parti pemerintah.

Sambil mengakui prestasi lemah MIC dalam dua pilihan raya umum lepas, Sivarraajh berkata ia disebabkan kelemahan dalam dasar-dasar kerajaan di bawah pentadbiran sebelum ini.

"Kita mungkin lemah pada tahun 2008, kita mungkin letih pada tahun 2013, tetapi ini bukan disebabkan oleh MIC tetapi kelemahan dasar-dasar kerajaan," katanya.

Beliau telah menyindir 'dasar-dasar tempang' yang dilaksanakan di bawah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Beliau adalah seorang yang bersifat perkauman yang hanya melaksanakan dasar untuk memberi manfaat kepada satu kumpulan.


"Saya suka Dr Mahathir, beliau adalah idola saya di universiti, tetapi hari ini saya sedih melihat masalah yang dihadapi oleh negara ini kerana dasar-dasar yang dilaksanakan pada masa beliau," katanya merujuk kepada autobiografi 800 muka surat Dr Mahathir,'Doctor In The House'.

Sivarraajh juga menegur pertubuhan bukan kerajaan mesra BN yang menyerang MIC di media sosial.

Beliau menggesa kumpulan itu bekerjasama dengan MIC untuk kepentingan BN dan bukannya 'bercakap kasar dan merendah-rendahkan parti'.

Beliau menggesa perwakilan Pemuda untuk berani dan menyuarakan kebimbangan mereka dan tidak membuat kenyataan populis jika mahu MIC terus bergerak ke hadapan dan mengatasi 'defisit amanah' yang dihadapi oleh parti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain