suria

Kenaikan Tol Bukan Babitkan Lebuh Raya Antara Bandar

KUALA LUMPUR: Kesemua 18 lebuh raya yang terlibat dalam penyelarasan kadar tol sejak Khamis lepas tidak dikategori dalam Lebuh Raya Antara Bandar (Inter Urban Highway).

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataan pada Sabtu menjelaskan,  lebuh raya antara bandar adalah lebuh raya yang menghubungkan satu ibu negeri dengan ibu negeri yang lain dan membentuk jaringan utama lebuh raya kebangsaan memandangkan ia turut menghubungkan kawasan luar bandar (rural area) dengan bandar.

"Dari segi geometriknya, lebuh raya antara bandar mempunyai akses terkawal di mana pengguna hanya boleh memasuki lebuh raya melalui persimpangan bertingkat yang ditentukan.

"Lebuh raya yang dikategorikan sebagai lebuh raya antara bandar adalah Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur," menurut kenyataan itu.

LLM dalam pada itu juga menjelaskan bahawa Lebuhraya KL-Karak (KLK) bukan lebuh raya antara bandar kerana ia hanya menghubungkan antara Gombak dan Bentong, Pahang.

Selain itu, KLK dibina dengan ciri geometrik intra urban highway iaitu mempunyai akses separa terkawal (partial access controlled) di mana terdapat simpang searas (atgrade) di sekitar kawasan perbandaran.

KLK hanyalah lebuh raya penghubung antara KL dan Kuantan, tambah kenyataan itu.

LLM berkata oleh demikian, tidak timbul isu bahawa kerajaan tidak mengotakan janjinya menerusi Manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas.

Antara kandungan Manifesto bertajuk 'Menepati Janji Membawa Harapan' yang dilancar Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2013 itu menyebut pengurangan bayaran tol antara bandar secara berperingkat.

Kenaikan Tol, LLM

Artikel Lain