suria

Polis Tidak Benarkan 'Himpunan Selamatkan Selangor'

Jamal Md Yunos

KUALA LUMPUR: Polis tidak membenarkan penganjuran 'Himpunan Selamatkan Selangor' yang dijadual berlangsung di hadapan sebuah pusat membeli-belah di Ampang esok kerana tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman (APA)2012.

Ketua Polis Daerah Ampang, ACP Khairuddin Daad berkata penganjur masih berdegil dan tetap ingin meneruskan perhimpunan itu walaupun permit tidak diluluskan.

"Saya nasihatkan orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan itu kerana ia tidak mendapat kebenaran daripada polis mahupun Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

"Bagaimanapun, saya akan menempatkan anggota di beberapa kawasan untuk mengawal keadaan dan keselamatan orang ramai," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Penganjur perhimpunan berkenaan iaitu Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos sebelum ini berkata ia dijadualkan berlangsung pada 11 Okt dan kemudian ditunda kepada 18 Okt bagi memenuhi syarat 10 hari menghantar notis mengikut APA 2012.

Sementara itu, Jamal berkata perhimpunan berkenaan akan bermula pada pukul 3 petang di hadapan pusat membeli-belah tersebut.

"Saya telah membuat permohonan kepada polis seperti yang termaktub dalam APA 2012 namun terserah kepada polis untuk menjalankan tanggungjawab mereka," katanya ketika dihubungi.

Artikel Lain