suria

Saifuddin Patut Buat Perubahan Ketika Dalam Umno

Tan Sri Shahrir Abdul Samad
JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah sepatutnya cuba membuat perubahan dari dalam parti, kata Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Shahrir berkata sayang sekali apabila Saifuddin berhujah bahawa beliau meninggalkan Umno atas dasar parti itu tidak mampu melakukan perubahan kerana Saifuddin telah diberikan tanggungjawab dan peluang untuk memimpin ketika berada dalam Umno.

Tambahnya, Saifuddin telah diberi peluang untuk memikul tanggungjawab dalam parti walaupun tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

"Saya secara peribadi merasakan bahawa dia tidak mencuba atau meneruskannya dengan cara yang betul bagi membawa perubahan kepada parti," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembangunan pasar Kampung Melayu Majidee pada Jumaat.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu juga menolak dakwaan bahawa lebih ramai pemimpin daripada parti komponen BN dijangka menyertai PKR di Johor, dengan menyatakan PKR adalah kebih kepada sebuah parti yang tidak relevan di negeri ini.

"Mungkin mereka yakin tetapi pemimpin perintisnya Chua Jui Meng juga disingkirkan daripada parti selepas pilihan raya umum lepas," kata Shahrir.

Shahrir berkata orang luar yang tidak memulakan kerjaya politik mereka di negeri Johor adalah pemimpin semasa parti-parti pembangkang di negeri ini.

"Ia bukan masalah orang luar yang memimpin di sini tetapi untuk menunjukkan bahawa semua pihak dan ahli politik mempunyai agenda sendiri dan matlamat mereka," kata Shahrir.

Tambahnya, ini bermakna BN dan Umno tidak boleh duduk diam.

"Kami akan terus menggerakkan parti ke hadapan supaya ia kekal relevan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain