suria

Mahkamah Alam Sekitar Selesaikan Hampir 96 Peratus Kes - Ketua Hakim Negara

Ariffin bersama Duta Amerika Syarikat Ke Malaysia, Joseph Y Yun (kiri) menanam pokok sempena persidangan Seminar Kebangsaan Kedua mengenai Keadilan Alam Sekitar 2015 di Belum Rainforest Resort, Gerik, Jumaat.

GERIK: Penubuhan Mahkamah Alam Sekitar menyumbang hampir 96 peratus kes yang direkod dari September 2012 hingga September 2015 diselesaikan, kata Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Beliau berkata walaupun 1,140 kes didaftar di Mahkamah Sesyen, hanya 135 kes masih tertangguh manakala di Mahkamah Majistret merekodkan 1,017 kes dan daripada jumlah itu hanya 36 kes masih tertangguh.

"Pada 2012, Badan Kehakiman Malaysia menubuhkan Mahkamah Alam Sekitar sendiri di seluruh negara yang menyaksikan kes alam sekitar yang berdaftar memiliki kod khas dan dibahagi kepada kes khusus dan umum.

"Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes-kes yang termasuk di bawah 34 Akta dan Ordinan serta 17 Peraturan, Kaedah-Kaedah dan Perintah," katanya pada Seminar Kebangsaan Kedua mengenai Keadilan Alam Sekitar 2015 di Belum Rainforest Resort di sini.

Lima puluh pegawai kehakiman mengambil bahagian dalam seminar lima hari itu yang bermula semalam.Arifin berkata kadar penyelesaian kes yang lebih tinggi di kedua-dua mahkamah itu disebabkan keutamaan yang diberi kepada kes alam sekitar oleh hakim dan juga jangka masa yang ditetapkan bagi penyelesaian kes, iaitu antara enam dan 12 bulan dari tarikh pendaftaran.

Beliau berkata selain Mahkamah Alam Sekitar, badan kehakiman juga memberi tumpuan kepada inisiatif lain untuk memupuk kesedaran orang ramai mengenai peranan mereka supaya melindungi alam sekitar.

"Melalui komitmen kami di peringkat antarabangsa seperti Mesyuarat Meja Bulat Ketua Hakim Negara ASEAN mengenai Alam Sekitar serta Kongres Dunia mengenai Keadilan; Undang-Undang dan Tadbir Urus bagi Kelestarian Alam Sekitar; kami menubuhkan Kumpulan Kerja Kehakiman Kebangsaan mengenai Alam Sekitar (NJWGE) untuk merangka program alam sekitar di peringkat negeri dan daerah. 

"Semua hakim Mahkamah Alam Sekitar diminta menganjurkan aktiviti alam sekitar di kawasan masing-masing. Saya dengan sukacitanya melaporkan tidak kurang daripada 15 aktiviti diadakan di seluruh negara termasuk seminar, ceramah, mesyuarat, debat alam sekitar untuk pelajar sekolah dan banyak lagi," katanya.

Arifin berkata selepas tiga tahun penubuhannya di mahkamah rendah, bidang kuasa Mahkamah Alam Sekitar hanya terhad kepada perkara jenayah.


Artikel Lain