suria

Peguam Negara Dan BNM Perlu Selesai Isu 1MDB - Paul Low

Datuk Paul Low
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Peguam Negara perlu menyelesaikan isu yang timbul di antara mereka berhubung siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low.

"Sebagai anggota Kabinet, saya fikir tidak wajar bagi saya untuk mengulas. Mereka tahu apa yang mereka lakukan, tetapi mereka perlu menyelesaikannya.

"Walau bagaimanapun, perkara yang paling penting ialah menegakkan kedaulatan undang-undang," kata Low kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bercanggah yang dibuat oleh kedua-dua institusi yang menyiasat 1MDB.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Bengkel Pemantauan Ikrar Integriti Korporat (CIP) yang dianjurkan oleh bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat.

Pada 9 Oktober, Pejabat Peguam Negara berkata 1MDB bebas daripada sebarang salah laku berkaitan pelaburannya di luar negara walaupun Bank Negara mencadangkan sebaliknya.

Bank Negara kemudian membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1MDB untuk pelaburan luar negara bernilai AS$1.83 bilion (RM7.58 bilion).

Katanya, kebenaran telah dibatalkan kerana pelaburan telah diperolehi berdasarkan pendedahan maklumat yang tidak tepat atau tidak lengkap.
BNM, Peguam Negara, 1MDB, Datuk Paul Low

Artikel Lain