suria

Jabatan Kimia Sahkan Mayat Ika Dan Rangka Juvina

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim menunjukkan kenyataan media mengenai laporan awal keputusan analisis ujian DNA murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang yang hilang di dalam hutan pada Ogos lepas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Jumaat. Dua rangka yang dikenal pasti ialah Ika Ayel, 9, dan Juvina David, 7. -fotoBERNAMA
KOTA BAHARU: Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan identiti dua lagi mayat kanak-kanak yang hilang di Gua Musang pada Ogos lepas, adalah Ika Ayel, 9, dan Juvina David, 7.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata mayat kedua-dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi itu disahkan identiti mereka melalui ujian DNA yang dilakukan oleh ahli kimia jabatan berkenaan, Nor Aidora Saedon.

"Spesimen yang diambil daripada satu mayat adalah Ika iaitu anak kandung kepada pasangan Nora Tegau dan Ayel Ajeb.

"Sementara, spesimen diambil daripada rangka adalah Juvina, anak kandung kepada pasangan Shela Omar dan David Kuasan," katanya pada sidang media mengenai keputusan ujian DNA OPS Tohoi 07, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, Jumaat.

Mazlan berkata keputusan ujian DNA itu akan dimaklumkan segera kepada keluarga kanak-kanak terbabit, bagi membolehkan proses pengebumian dilaksanakan.

Beliau berkata keputusan ujian DNA bagi satu lagi mayat dan satu rangka masih belum diperoleh daripada Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Selangor, dan dijangka diketahui minggu depan.

Pada 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli SK Pos Tohoi dilapor melarikan diri dari asrama sekolah berkenaan kerana takut dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Mereka ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11; - berasal dari Kampung Gawin dan Penad.

Setelah 50 hari hilang, Miksudiar dan Norieen ditemui selamat manakala pihak berkuasa turut menemui dua mayat dan dua rangka kanak-kanak pada awal bulan ini.

Seorang lagi mangsa daripada kumpulan kanak-kanak itu masih hilang dan misi pencarian masih diteruskan.

Mazlan berkata pasukan mencari kini memberi tumpuan untuk mencari seorang lagi kanak-kanak berkenaan dengan memperluaskan kawasan pencarian dari Sungai Perias di Pos Tohoi hingga ke Sungai Nenggiri juga di Gua Musang.

Katanya polis juga akan cuba mendapatkan rakaman percakapan berhubung kejadian itu, daripada Miksudiar dan Norieen, yang kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

Artikel Lain