suria

Saifuddin Akan Beri 'Sumbangan Besar' Kepada PKR - Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
BELAGA: Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya bekas anggota Majlis Tertinggi Umno Saifuddin Abdullah akan memberi 'sumbangan besar' kepada PKR yang disertainya baru-baru ini.

Timbalan perdana menteri berkata 'sumbangan besar' itu adalah masalah yang besar sebagaimana dilakukan bekas Anggota Parlimen Temerloh itu kepada Umno.

"Beliau lebih sesuai untuk memberi 'sumbangan besar' itu kepada parti tersebut," katanya berseloroh.

Ahmad Zahid diminta mengulas mengenai penyertaan Saifuddin ke dalam PKR, selepas mendengar taklimat mengenai Stesen Janakuasa Hidro Elektrik Bakun, di sini Jumaat.

Mengenai Persidangan Dewan Rakyat yang dijadual bermula pada 19 Oktober ini, beliau berkata pihak kerajaan tidak akan terkejut jika pembangkang menimbulkan isu hangat khasnya titah Majlis Raja-raja mengenai siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad.

"Kita bersiap siaga untuk memberi jawapan sebagai penjelasan kepada isu itu," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata pihak pembangkang juga harus menerima jawapan daripada kerajaan sebagai penjelasan yang rasmi dan tidak diputar-belit melalui lontaran pelbagai pandangan yang berbeza.

Namun beliau berkata walau apapun yang diperjelaskan oleh kerajaan tidak akan diterima pembangkang.

Artikel Sebelum

Artikel Lain