suria

Tol: Noh Minta Azmin Jangan Cuba Main Wayang

Datuk Seri Noh Omar
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali diminta tidak cuba bermain wayang apabila bertindak seperti seorang wira dalam memperjuangkan rakyat dengan mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Selangor menolak kenaikan kadar tol.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata umum mengetahui bahawa dua anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) masing-masing memiliki saham minoriti 30 peratus dalam syarikat konsesi Lebuhraya Kesas dan 20 peratus dalam Syarikat konsesi Lebuhraya Sprint.

"Saya mendesak supaya Kerajaan Selangor segera mengumumkan keuntungan yang telah mereka peroleh dan bakal mereka peroleh daripada saham mereka di dalam syarikat konsesi Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Sprint. 
"Kerajaan negeri perlu memulangkan wang keuntungan tersebut kepada rakyat Selangor sekiranya mereka benar-benar ingin membantu rakyat," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Semalam, Mohamed Azmin dilaporkan berkata, Kerajaan Selangor menolak kenaikan kadar tol di 18 lebuh raya di seluruh negara, 12 daripadanya di Lembah Klang, berikutan kos sara hidup yang meningkat pada masa ini.

Noh dalam pada itu meminta kerajaan Persekutuan mengkaji semula cadangan Umno Selangor sebelum ini supaya menghapuskan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, kedua-duanya di Lebuhraya Persekutuan.

Ini kerana, beliau berkata kedua-dua plaza tol berkenaan adalah antara yang telah lama wujud dan telah membuat keuntungan.

"Sekiranya kedua-dua plaza tol itu tidak boleh dihapuskan saya mencadangkan salah satu daripadanya dihapuskan dalam membantu meringankan beban rakyat," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan Persekutuan mengenakan harga tol melalui dua kaedah, iaitu harga tol dikekalkan ketika waktu puncak dan dikurangkan ketika luar waktu puncak.

Menurutnya melalui kaedah ini, pengguna yang tidak terlibat dengan aktiviti waktu puncak mempunyai pilihan untuk menggunakan lebuh raya selepas waktu puncak dan ini memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan harga tol lebih rendah.

"Kaedah kedua ialah kerajaan mengurangkan harga tol ketika cuti umum. Ini boleh membantu rakyat yang berada di luar Lembah Klang menggunakan kemudahan lebuh raya dan mampu merancakkan aktiviti pelancongan di kawasan Lembah Klang," katanya.

Sebelum ini, beberapa syarikat konsesi lebuh raya utama termasuk di Lembah Klang mengumumkan kenaikan kadar tol antara 10 sen dan RM6 berkuat kuasa semalam (15 Okt).

Ia melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-SILK, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (Smart), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya SPRINT dan Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga).

Artikel Lain