suria

11 Kerusi Baharu DUN Sarawak Dapat Lampu Hijau

PUTRAJAYA: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak dan seorang pengundi gagal dalam mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap kesahihan notis Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung cadangan dan persempadanan semula sempadan pemilih Sarawak.

Pada Khamis, Presiden Mahkamah Rayuan Hakim Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel tiga hakim di mahkamah tersebut menolak rayuan yang dikemukakan Adun Batu Lintang, See Chee How dan Pauls Baya, seorang pengundi di Ulu Baram.

Md Raus berkata keputusan tersebut dicapai sebulat suara.

Beliau membuat keputusan tersebut atas alasan bahawa permohonan oleh See dan Pauls dianggap sebagai akademik.

Dalam pelaksanaan persempadanan semula untuk Sarawak, SPR mewujudkan 11 kawasan baharu pilihan raya negeri, pertambahan dari 71 kepada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

See dan Pauls memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Ogos lalu yang mengisytiharkan kesahihan notis SPR berhubung cadangan dan persempadanan semula sempadan pemilih Sarawak.

Mahkamah Rayuan telah menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 15 Mei lalu yang mengarahkan SPR menerbitkan semula notisnya selepas memutuskan bahawa notisnya kekurangan maklumat.

persempadanan semula, Sarawak, DUN, SPR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain