suria

Bilik Darjah SK Tohoi Dijadikan Pusat Kawalan Pasukan SAR

GUA MUSANG: SK Tohoi telah menjadi sebuah pusat yang penuh dengan aktiviti sejak tujuh kanak-kanak Orang Asli dilaporkan hilang selama 46 hari.

Polis, tentera dan pasukan penyelamat telah menggunakan sekolah ini sebagai pusat kawalan.

Asrama sekolah telah dijadikan bilik darjah sementara bagi kanak-kanak Orang Asli.

Ketika pasukan The Star TV berkunjung ke asrama yang terletak kira-kira 50km dari sini, kami tidak dibenarkan masuk dan tidak dibenarkan untuk bercakap dengan guru atau murid-murid.

Dimaklumkan bahawa sekolah ini mempunyai 250 orang murid. Separuh daripada mereka adalah dari Pos Tohoi manakala yang lain adalah dari Kampung Penad, Kampung Gawin dan Pos Simpo.

Asramanya menempatkan murid-murid dari Penad dan Gawin, manakala yang lain berjalan kaki ke sekolah setiap hari dari kampung-kampung berdekatan.

Walaupun warga sekolah itu berasa sedih atas kejadian itu melibatkan tujuh muridnya, murid-murid sekolah kelihatan gembira dan bersemangat menjalankan aktiviti bilik darjah yang dianjurkan oleh guru-guru.

Para pekerja sibuk memasang pagar perimeter baru di asrama, manakala timbunan batu-bata dan simen dapat dilihat di kawasan sekolah.

Seorang pengawal berkata sekolah ini telah menjalani beberapa kerja pembaikan.

Kami kemudian berjaya memasuki sekolah ini apabila Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan Abdul Aziz Abdullah membuat lawatan.

Kami kemudian diberitahu bahawa sekolah ini akan menjalani proses naik taraf utama semasa cuti sekolah panjang pada bulan Disember.

Artikel Lain