Penyalahgunaan Undang-Undang: Salleh Ingatkan Tun M Tindakan Beliau Sendiri - Semasa | mStar

Penyalahgunaan Undang-Undang: Salleh Ingatkan Tun M Tindakan Beliau Sendiri

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia  Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pada Isnin mengingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa terdapat banyak kes apabila individu ditahan, didakwa dan disabitkan kerana bercakap benar semasa beliau memegang jawatan perdana menteri.

Beliau memberi respons itu berikutan sidang akhbar Dr Mahathir berhubung penahanan bekas Naib Ketua UMNO bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam beliau, Matthias Chang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Dr Mahathir berkata penahanan itu merupakan penyalahgunaan serta tidak menghormati undang-undang, dan menambah, satu-satunya jenayah yang dilakukan mereka berdua adalah bercakap benar.

Salleh berkata: "Dr Mahathir, dalam banyak-banyak orang, seharusnya tahu bahawa kebenaran adalah subjektif dan hanya disebabkan seseorang itu bercakap benar tidak bermakna dia tidak melanggari undang-undang.

"Dr Mahathir mesti diingatkan tentang banyak kes semasa zaman beliau apabila orang yang bercakap benar ditahan, didakwa dan disabitkan disebabkan jenayah kerana bercakap benar," katanya dalam catatan terkini menerusi blog beliau, www.sskeruak.blogspot.my.

Memetik kes tokoh pembangkang Marina Yusoff sebagai contoh, Salleh berkata Marina disabitkan dan dijatuhi hukuman mengikut Akta Hasutan pada tahun 2000 kerana bercakap benar dan dalam keputusannya, hakim berkata hanya disebabkan bercakap benar, itu tidak bermakna beliau tidak bersalah dalam melakukan jenayah.

"Semasa era Dr Mahathir sebagai perdana menteri, beliau menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri terhadap penentang dan pengkritik kerajaan tanpa dibicarakan.

"Pada 2001, sepuluh penyokong (bekas pemimpin pembangkang Datuk Seri) Anwar Ibrahim ditahan tanpa dibicarakan berhubung dakwaan bahawa mereka adalah pengganas," katanya.

Salleh berkata enam daripada mereka ditahan selama dua tahun dan mahkamah kemudian memutuskan bahawa mereka bukanlah pengganas dan tahanan mereka itu tidak sah.

"Setidak-tidaknya Khairuddin dan Matthias akan dibicarakan bagi mereka mempertahankan diri dan jika didapati tidak bersalah, mereka akan dibebaskan," katanya.

Salleh berkata biarlah perbicaraan itu kelak yang menentukan sama ada apa yang diperkatakan Khairuddin dan Matthias adalah benar.

Khairuddin, 53, bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan dan Chang, 65, didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan (Akta 547) dan kini ditahan di bawah SOSMA, yang tidak membenarkan mereka diikat jamin.
Sosma , Salleh Keruak , Dr Mahathir , ISA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

Artikel Lain