suria

Permainan Video "Rahsia" Muhammad Afiq Terima Anugerah Canselor UniKL

Muhammad Afiq Aiman dinobat sebagai penerima Anugerah Canselor UniKL.

PUTRAJAYA: Siapa sangka minatnya kepada permainan video bola sepak banyak membantu mengajar Muhammad Afiq Aiman Salime menyusun strategi serta bekerjasama dalam kumpulan pelajar untuk menghasilkan tugasan terbaik.

Malahan, kenangan paling berharga apabila pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ini telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Canselor yang dikurniakan Tuanku Canselor, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Menurut pelajar Ijazah Penyelenggaraan Teknologi Pesawat (Kepujian) dalam Avionik, permainan video bola sepak itu banyak menolongnya menyusun strategi untuk belajar terutama perbincangan serta menyiapkan tugasan berkumpulan.

"Saya sukakan permainan video Fifa kerana strategi yang bagus dalam pasukan perlu untuk atasi pasukan lawan.

"Sama juga dengan belajar. Kita perlukan perancangan yang betul untuk capai kejayaan," katanya.

Ketika berkongsi tentang rahsia kejayaannya, pelajar berusia 23 tahun ini berkata, perkara hakiki yang tidak boleh disangkal adalah memberikan tumpuan sepenuhnya semasa sesi pembelajaran.

"Saya belajar sama macam orang lain cuma saya lebih fokus semasa belajar sama seperti saya fokus semasa main permainan video," ujarnya.

Muhammad Afiq turut menerima RM15,000 sebagai penerima Anugerah Canselor.

Majlis Konvokesyen ke-12 ini berlangsung selama empat hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).


UniKL, Anugerah Canselor

Artikel Lain