suria

Mahkamah Dengar Permohonan Khairuddin, Chang Isnin Depan

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang Wen Chieh memohon Mahkamah Tinggi menyemak pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara yang dihadapi mereka.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu mahkamah, ini kerana pertuduhan yang dihadapi dua anak guamnya mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan tidak tergolong di bawah peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Beliau berkata permohonan Khairuddin dan Chang adalah isu undang-undang bagi menentukan sama ada Seksyen 124L Kanun Keseksaan tergolong di bawah SOSMA atau tidak.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin menetapkan 19 Oktober untuk mendengar permohonan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud memaklumkan pihaknya memerlukan tempoh untuk menjawab beberapa persoalan berhubung isu undang-undang yang dibangkitkan itu.

Pagi ini, Khairuddin dan Chang, memfailkan notis usul supaya Mahkamah Tinggi membuat beberapa perintah. Mereka menfailkan notis usul itu berserta sijil perakuan segera supaya kes itu didengar segera.

Tarikh sebutan permohonan itu ditetapkan mahkamah pada petang tadi.

Dalam notis usul itu mereka memohon perintah Mahkamah Tinggi bahawa pertuduhan yang dihadapi mereka mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan tidak tergolong sebagai pertuduhan untuk dibicarakan mengikut Sosma.

Khairuddin dan Chang juga memohon mahkamah supaya melepaskan mereka dengan jaminan berpatutan, selain turut memohon lain-lain perintah yang dianggap adil dan sesuai oleh mahkamah.

Kedua-duanya mengemukakan permohonan itu atas alasan keputusan Mahkamah Majistret yang membenarkan pertuduhan dibaca tanpa dipindahkan serta-merta ke Mahkamah Tinggi bagi tujuan pengambilan pengakuan daripada mereka adalah tidak sah dan cacat.

Mereka juga mendakwa Majistret itu telah gagal untuk menentukan sama ada pertuduhan mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan terhadap mereka adalah tidak tergolong sebagai pertuduhan untuk dibicarakan mengikut Sosma.

Semalam, Khairuddin dan Chang didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lima lokasi - pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Peranchis di Paris, Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom, pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai Polis WaiChan, Hong Kong, dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura - antara 28 Jun hingga 26 Ogos tahun ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh ketika kes itu disebut di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Siti Radziah tidak membenarkan mereka diikat jamin dan menetapkan 26 Oktober untuk sebutan semula kes.

Artikel Lain