suria

Malaysia Aman, Sistem Pendidikan Bagus - Graduan UniKL Warga Yaman

Abdulaziz Hadi memilih Malaysia kerana faktor aman dan sistem pendidikan yang bagus.

PUTRAJAYA: Suasana aman di Malaysia menjadi pilihan graduan warga asing tunggal dari Yaman untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Penerima Ijazah Doktor Falsafah (Phd) Teknologi Maklumat, Abdulaziz Hadi Aborujilah, 33, berkata hasratnya untuk belajar di sini tercapai setelah diterima UniKL.

"Saya bersyukur kerana berpeluang belajar di sini kerana Malaysia sebuah negara yang aman dan sistem pendidikan sangat bagus.

"Jika hendak dibandingkan dengan negara asal saya, ia sangat berbeza kerana keadaan di Yaman sangat huru-hara akibat peperangan," katanya yang menetap di Gombak bersama isteri dan anak-anaknya sejak empat tahun lalu.

Mengakui bimbang dengan situasi di negara kelahirannya, namun ia tidak mematahkan semangat Abdulaziz Hadi untuk menerusikan pembelajarannya di negara ini.

"Saya risaukan keadaan ibu, ayah dan keluarga yang masih berada di Yaman. Saya selalu bertanyakan bagaimana keadaan mereka di sana, namun keluarga saya kata tiada apa yang perlu dirisaukan. Mungkin mereka mahu saya fokus untuk menamatkan  pengajian," ujarnya lagi.

Turut hadir pada sesi utama Majlis Konvokesyen ke-12 UniKL  adalah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Canselor UniKL di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.


Artikel Lain