suria

Kanak-Kanak Hilang: Masyarakat Orang Asli Sendiri Terus Berteka-Teki

Sungai Perias di Pos Tohoi, Gua Musang.
PETALING JAYA: Insiden kanak-kanak Orang Asli dari SK Tohoi, Gua Musang, yang hilang masih menjadi teka-teki kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli dan di kalangan masyarakat Orang Asli sendiri.

Ketua Pengarahnya Datuk Hasnan Hassan berkata anjing pengesan tidak mampu mengesan kanak-kanak hilang semasa operasi carian dibuat beberapa minggu lalu sehinggalah mayat ditemui di Sungai Perias berhampiran Pos Tohoi, Gua Musang, Rabu.

"Ia merupakan satu teka-teki buat kami," kata Hasnan yang sedang dalam perjalanan ke Gua Musang ketika dihubungi.

Miksudiar Aluj, 11, Norieen Yaakob, 10, Haikal Yaakob, 8, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina Daud, 7 dilaporkan hilang pada 23 Ogos.

Bulan lalu, ibu bapa kanak-kanak terbabit menjelaskan bahawa tujuh kanak-kanak dilaporkan hilang selepas mereka tidak dapat mencari saudara kandung mereka yang lain di sekolah berasrama penuh itu.

Tiga daripada kumpulan 13 bersaudara telah didenda kerana berenang di sungai berhampiran. Apabila 10 yang lain mendapat tahu tentang hukuman dikenakan, mereka melarikan diri dengan bersembunyi di sebuah ladang berhampiran sekolah, tetapi telah kembali semula ke sekolah.

Ketika pergi bersembunyi, sekumpulan tujuh pelajar lain berpendapat mereka telah pulang ke rumah dan mengambil keputusan untuk balik ke rumah pada hujung minggu, tanpa memaklumkan kepada pihak sekolah.

Ketujuh-tujuh mereka kemudiannya hilang.

Pada Jumaat, dua kanak-kanak Orang Asli telah dijumpai dalam keadaan lemah dan kurus kering, manakala seorang lagi telah meninggal dunia.

Pengerusi Belia Jaringan Kampung Orang Asal Kelantan Dendi Johari berkata kanak-kanak Orang Asli berkenaan tidak biasa dengan kawasan hutan di situ dan berkemungkinan berdepan kesukaran mencari jalan keluar.

"Selain itu, mereka tidak mempunyai parang dan tempat di mana mereka dijumpai tidak mempunyai buah-buahan yang mereka boleh makan," katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak Orang Asli itu tidak diajar dengan kemahiran kemandirian di hutan kerana mereka telah dihantar ke sekolah asrama pada usia muda.

"Jika mereka hidup bersama ibu bapa di kampung, ibu bapa mereka akan mengajar mereka untuk mengenali pelbagai pokok dan daun yang boleh dimakan," kata beliau dalam satu temu bual telefon.

Dendi, yang sedang menunggu di rumah mayat hospital di Gua Musang berkata, kejadian itu adalah teka-teki untuk Orang Asli kerana mereka sendiri mahir dalam kemandirian di hutan dan telah mencari dengan rapi di seluruh kawasan itu tetapi tidak dapat mengesan tujuh kanak-kanak itu beberapa minggu lepas.

"Kami, masyarakat orang Asli di sini benar-benar sedih apabila mendengar tentang kematian kanak-kanak yang sebelum ini dilaporkan hilang," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain