Pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Nizam menyerahkan kanak-kanak lima tahun yang diculik pada pagi Jumaat kepada bapa saudaranya. -foto AZHAR MAHFOF/The Star
KUALA LUMPUR: Dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kes penculikan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Sungai Chua, Kajang, awal pagi Jumaat telah ditahan. Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata kedua-dua lelaki itu ditahan dalam satu serbuan di Sungai Chua kira-kira pukul 10.25 malam Jumaat. Beliau tidak mengulas sama ada dua suspek tersebut ditahan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di luar tadika kanak-kanak itu. "Kami ada dua suspek. Kami sedang melakukan siasatan yang terbaik, itu sahaja yang boleh saya katakan buat masa ini," katanya. Sumber berkata kedua-dua lelaki yang ditahan itu positif dadah. Kanak-kanak itu disatukan semula dengan keluarganya kira-kira pukul 5.38 petang selepas hilang selama lapan jam. Seorang pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Nizam menghantar kanak-kanak itu ke rumah keluarganya di Taman Cahaya di sini. "Saya menjumpai dia sedang merayau di jalan raya dan saya mengenalinya dari mesej dalam WhatsApp yang tersebar," kata Nizam.