suria

Kerajaan Sedia Beri Peruntukan Tambah Agro Bazaar Rakyat - PM

Najib melihat tandatangan warga peladang di seluruh negara yang menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri pada majlis perasmian mesyuarat agung NAFAS ke-42 Tahun 2015 di PWTC pada Jumaat. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia memberi peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta pertubuhan peladang bagi memperbanyakkan Agro Bazaar Rakyat di seluruh negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata langkah itu dapat memanfaatkan rakyat yang berpeluang mendapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan.

"Salah satu perkara yang menjadi perhatian rakyat di mana-mana tempat pun pada masa ini ialah mengenai kos sara hidup.

"Kita nak pastikan harga bekalan ayam, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari pada harga berpatutan kepada rakyat teramai dan (supaya) mereka merasakan hidup di Malaysia merupakan rahmat yang besar," katanya ketika berucap pada majlis jamuan malam dan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) kali ke-42 di sini, malam Jumaat.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Seri Saipolbahari Suib.

Najib berkata golongan petani, penternak dan nelayan juga boleh mendapat pendapatan yang lebih dengan memasarkan produk mereka di Agro Bazaar Rakyat berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata golongan  petani, penternak dan nelayan juga perlu mengembangkan pasaran ke luar negara dengan menjalin kerjasama dengan pasar raya-pasa raya besar.

"Bidang pertanian ini tidak terhad kepada sempadan negara kita...bagaimana dengan bidang eksport, nilai tambah umpamanya. (Bagaimana) kalau kita dapat bekerjasama dengan rangkaian hypermarket peringkat antarabangsa dan kita salurkan produk kita kepada rantaian untuk dieksport ke pasaran seperti Timur Tengah," kata Najib.

Dalam pada itu, beliau berkata golongan petani, penternak dan nelayan di negara ini sentiasa mendapat bantuan daripada kerajaan dalam menaik taraf kehidupan mereka.

Katanya tiada seorang pun daripada mereka yang tidak pernah mendapat bantuan seperti benih, baja dan pemasaran daripada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Umno. - BERNAMA

Agro Bazaar, Najib Tun Razak

Artikel Lain