suria

Dasar Perlindungan Pemberi Maklumat Beri Keyakinan Dedah Pelanggaran Integriti

Rohani Abdul Karim.

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada Selasa  melancarkan Dasar Perlindungan Pemberi Maklumat bagi memberi keyakinan kepada pengadu isu integriti kementerian, bahawa identitinya dan keluarganya dilindungi.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pelaksanaan dasar itu akan membolehkan mereka melaksanakan hak dengan rasa tanggungjawab untuk melaporkan apabila terdapat kepercayaan yang munasabah bahawa pelanggaran integriti berlaku.

Berikutan pelaksanaan dasar itu, beliau berkata kementeriannya mewujudkan saluran aduan bagi memudahkan pemberi maklumat mengetahui kaedah yang betul untuk memohon perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

"Orang mungkin takut diri mereka atau keluarga akan mendapat kesan buruk jika mereka dedahkan sesuatu perbuatan rasuah, jadi kita harap mereka akan lebih berani tampil ke hadapan.

"Bagaimanapun, pemberi maklumat itu tidak boleh menceritakan kepada orang ramai terlebih dahulu sebelum membuat aduan sebab orang lain sudah tahu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan dasar itu, di sini Selasa.

Rohani berkata setiap laporan yang mempunyai kepercayaan munasabah akan disalurkan oleh Unit Integriti kementerian kepada agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan dan permohonan perlindungan.

Mengulas mengenai pengguna media sosial yang semakin berani mengeluarkan kenyataan dan kata-kata kesat, Rohani berkata situasi ketika ini sangat bertentangan dengan nilai masyarakat.

Katanya dahulu individu meluahkan sesuatu ketidakpuasan hati dan sebagainya secara berdepan tetapi kini pengguna media sosial boleh menulis apa sahaja perkataan kesat tanpa mendedahkan identiti mereka. - BERNAMA

pemberi maklumat, SPRM, PDRM

Artikel Lain