suria

Nik Nazmi Didakwa Buat Kali Ketiga Atas Akta Sama

Nik Nazmi Nik Ahmad.

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad didakwa mengikut akta yang sama buat kali ketiga di Mahkamah Sesyen di sini, Selasa.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman kerana gagal memaklumkan kepada polis 10 hari sebelum penganjuran perhimpunan Blackout 505 pada 8 Mei, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu berikutan Hakim Azwarnida Affandi memerintahkan pembelaan dan pendakwaan memfailkan permohonan untuk membantah pertuduhan itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Kelana Jaya pada pukul 8.30 malam, 8 Mei 2013.

Pada 7 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan tanpa membebaskan Nik Nazmi daripada pertuduhan sama.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Syahrudin Wan Ladin memohon ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun Adzwanida membenarkan ikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Oktober untuk sebutan semula dan pendengaran awal kes.


Artikel Lain