suria

Permohonan Merayu Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya 13 Oktober

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan Selasa depan (13 Okt) untuk mendengar permohonan kebenaran merayu oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang See Chee How dan seorang pengundi terhadap keputusan berhubung notis Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, yang mempengerusikan panel tiga hakim, turut menetapkan tarikh sama untuk mendengar permohonan penangguhan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Ogos tahun ini bahawa notis SPR berkaitan cadangan itu adalah sah.

Datuk Dr Cyrus Das memberitahu panel hakim bahawa mereka bersedia untuk meneruskan permohonan penangguhan pada Selasa tetapi boleh menangguhkan pendengaran sekiranya Mahkamah Persekutuan bersetuju untuk mendengar permohonan kebenaran merayu pada minggu depan.

Das dan S. Ambiga mewakili pemohon, See dan Pauls Baya, seorang pengundi di Ulu Baram.

Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh yang mewakili SPR berkata beliau  bersetuju kebenaran merayu itu didengar minggu depan.Hakim Raus kemudian menetapkan 13 Oktober bagi mendengar permohonan kebenaran merayu dan permohonan penangguhan. 

Turut bersidang bersama beliau ialah dua Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Tan Sri Abu Samah Nordin.

Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 15 Mei tahun ini, yang memerintahkan SPR supaya mengeluarkan semula notis selepas memutuskan bahawa notis terbabit kekurangan butiran.

Pada 25 Mei tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Yew Jen Kie turut mengeluarkan perintah tambahan dengan mengisytiharkan notis persempadanan semula SPR itu batal dan tidak sah selepas memutuskan bahawa notis itu tidak selaras dengan Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Tinggi membenarkan semakan kehakiman yang difailkan See dan Pauls.

Dalam melaksanakan urusan persempadanan semula bagi Sarawak, SPR memohon untuk mewujudkan 11 kawasan pilihan raya baharu, dengan menambah daripada 71 kawasan sedia ada kepada 82. 

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memutuskan bahawa notis SPR adalah selaras dengan Seksyen 4 (a) Jadual  13 Perlembagaan Persekutuan.-- Bernama





SPR, See Chee How, Batu Lintang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain