suria

MCA Mahu MP Pasir Salak Dikenakan Tindakan

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mengancam untuk 'melempang' orang Cina Malaysia yang mengadu masalah di luar negara mesti dikenakan tindakan.

Alasan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Ahli Parlimen Pasir Salak yang menyalahkan media kerana salah memetik kenyataanya itu tidak boleh diterima oleh MCA dan masyarakat Cina yang juga melihatnya sebagai ancaman penghinaan yang serius.

Di Putrajaya, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata rakaman suara Tajuddin membuat kenyataan tersebut telah tersebar luas dan 'satu dunia menyedarinya'.

"MCA dan masyarakat Cina marah dengan ancaman beliau," kata beliau sambil menambah Tajuddin perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap media yang didakwa salah memetik kenyataannya.

"Parti melihat episod ini sebagai sangat serius," kata Dr Wee.

Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, parti itu menuntut permohonan maaf daripada Tajuddin atas kenyataan yang 'secara serius menyinggung dan menghina kaum Cina".

"Orang Cina di Malaysia hanya taat kepada Malaysia dan tidak akan berjanji setia kepada negara lain, apatah lagi membuat aduan di luar negara," katanya dalam satu kenyataan.

Semasa sidang akhbar selepas menghadiri satu majlis di sini pada Khamis, Tajuddin dilaporkan memberi amaran kepada masyarakat Cina supaya tidak mengadu mengenai kerajaan negara ini kepada pihak luar dengan harapan akan mendapat pembelaan daripada kerajaan asing.

Beliau juga dipetik sebagai berkata bahawa terdapat orang Cina yang fikir mereka ada 'godfather' untuk membela dan bantu mereka.

Kenyataan Tajuddin adalah sebagai tindak balas kepada soalan-soalan media mengenai Duta Besar China ke Malaysia Dr Huang Huikang ke Petaling Street pada Jumaat lalu di sini, sehari sebelum perhimpunan baju merah diadakan di kawasan itu, yang juga dikenali sebagai Chinatown.

Perhimpunan yang diumumkan oleh Pengerusi Umno Sungei Besar Umno Datuk Jamal Md Yunos itu bagaimanapun dibatalkan.

Beberapa jam selepas kenyataan beliau menjadi viral, Tajuddin menafikan mengeluarkan ancaman itu, berkata ia hanya satu peringatan bagi orang Cina.

Menurut Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon, pemimpin parti akan membawa insiden itu kepada Majlis Tertinggi Barisan Nasional.

Beliau berkata negara tidak mempunyai ruang untuk golongan pelampau dan perkauman, dan mempersoalkan asas Tajuddin menuduh orang Cina meminta bantuan daripada China.

"Saya menggesa ahli-ahli politik untuk tidak menjadikan orang Cina sebagai kambing hitam untuk masalah yang dihadapi negara," kata Chong.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain