suria

Dua Timbalan Menteri Dalam Negeri Lawat Esscom Tiga Hari

PUTRAJAYA: Dua Timbalan Menteri Dalam Negeri akan mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) selama tiga hari bermula Sabtu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Timbalan Menteri Dalam Negeri di sini pada Jumaat, lawatan oleh Datuk Nur Jazlan Mohamad dan Masir Kujat itu bagi melihat sendiri barisan hadapan Esscom yang diberikan tanggungjawab untuk mengawasi sepanjang kawasan Pantai Timur Sabah.

Selain diberi taklimat mengenai Esscom, mereka juga akan meninjau semua pos keselamatan dan melawat pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQ) Lahad Datu.

Lawatan itu juga mahu memastikan segala aset milik KDN sentiasa berada dalam tahap terbaik dalam memastikan aspek keselamatan kawasan itu tidak dikompromi demi kesejahteraan penduduk Sabah.

"Mereka juga mahu melihat sebarang ruang penambahbaikan yang boleh diambil untuk petugas-petugas Esscom dalam memastikan tiada ruang untuk penjenayah melakukan jenayah dalam kawasan berkenaan," menurutnya.

Lawatan itu juga adalah susulan daripada kunjungan ke atas Nur Jazlan dan Masir oleh keluarga Thien Nyuk Fun dan Bernard Then Ted Fen, Ogos lalu, dua mangsa yang diculik di Sandakan pada Mei lepas, menurut kenyataan itu.

Rombongan Nur Jazlan dan Masir akan turut meninjau pos kawalan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Timbun Mata, Mantabuan, Mataking, Mabul, Sipadan dan Manampilik bersempena lawatan itu.

Dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac 2013, Esscom merupakan kawasan kawalan keselamatan yang meliputi 1,400 kawasan pantai timur Sabah bermula dari Kudat hingga Tawau.

Artikel Berikut

Artikel Lain