suria

Dadah Bernilai RM300,000 Dirampas Dalam Operasi Di Semanggol

- Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Sejumlah dadah jenis heroin bernilai RM300,000 dan pelbagai peralatan memproses dadah dirampas dalam serbuan polis narkotik Pulau Pinang di sebuah rumah di kawasan Semanggol, di Perak Rabu lepas.

Serbuan ke banglo yang dijadikan makmal memproses dadah di daerah Kerian itu dibuat susulan penangkapan seorang peniaga berusia 50 tahun yang disyaki dalang utama kegiatan memproses dadah itu.

Lelaki terbabit ditahan di pejabatnya di Green Lane, di sini pada pukul 6.30 petang Rabu, kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Supt Lee King Chuan pada sidang media di sini, Jumaat.

Beliau berkata hasil serbuan ke atas banglo yang disewa sejak enam bulan lepas itu, polis merampas heroin seberat 9.324 kilogram, kafein (42.682 kilogram), sembilan botol berisi cecair asid dan pelbagai peralatan memproses dadah.

Lelaki yang mempunyai rekod jenayah bersabit dadah pada tahun 2002 itu adalah peniaga kereta terpakai dan peminjam wang, katanya.

Beliau berkata polis turut menyita sebuah kereta BMW, sebuah Mitsubishi Pajero, dua jam tangan Rolex, seutas jam tangan Rado, wang tunai RM41,000, sejumlah mata wang Euro, seutas rantai tangan dan dua komputer riba.

"Jumlah nilai sitaan ialah RM315,500," katanya.

Beliau berkata lelaki yang dipercayai bertindak sebagai ahli kimia dalam aktiviti memproses dadah itu kini direman sehingga Selasa ini dan kes disasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.

Ditanya sama ada lelaki terbabit bergerak bersendirian atau melalui sindiket, Lee berkata polis masih menjalankan siasatan dan mencari mereka yang turut terlibat dalam kegiatan itu.

Beliau berkata polis turut merayu kepada masyarakat setempat supaya menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya terdapat pergerakan atau karakter yang mencurigakan atau bau yang tidak disenangi dikesan di kawasan perumahan mereka.

Artikel Lain