suria

Rasuah: Pembantu Penguat Kuasa DBKL Dipenjara, Didenda

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dipenjara 18 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memperoleh rasuah RM1,000 tiga tahun lepas.

Hakim Rosbihanin Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nasir Danuri, 46, setelah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula Jumaat dan sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dipenjarakan enam bulan. Tertuduh membayar denda itu.

Mahkamah turut menolak permohonan peguam Datuk R. S. Sodhi, yang mewakili tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman itu.

Dalam penghakimannya, Rosbihanin berkata mahkamah juga mendapati, tertuduh yang berkhidmat lebih 20 tahun dengan DBKL, gagal memberi penjelasan yang jujur atas pertuduhan itu.

"Jangan tamak. Rasuah membawa padah. Kamu sepatutnya fikirkan kesan ke atas isteri dan anak-anak kamu sebelum melakukan kesalahan," kata Rosbihanin semasa menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh yang juga bapa kepada empat orang anak.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan lima saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan semasa perbicaraan kes itu.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nasir didakwa memperoleh rasuah berjumlah RM1,000 daripada Chew Hian Tat, seorang pemilik restoran, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Restoran Suria Teh Tarik kerana tidak memiliki lesen premis perniagaan yang sah.

Kesalahan itu dilakukan di restoran berkenaan, di No. 6, Jalan MRR2, Batu 4, Lot 4868, Ampang, di sini, pada 12 tengah hari, 24 Oktober 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Ketika rayuan, Sodhi memohon agar anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara dan dikenakan denda minimum atas alasan tertuduh menanggung isteri, anak, ibunya berusia 80 tahun yang menghidap kencing manis, sakit jantung dan buah pinggang serta ibu mentua berusia 70 tahun.

Beliau berkata tertuduh juga menyesal dan insaf atas perbuatannya itu. 

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Lokman Kasim, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam berikutan tertuduh telah menyalahgunakan kedudukan sebagai penguat kuasa sekali gus mencemarkan nama baik DBKL.-- Bernama



DBKL, rasuah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain