suria

Hampir 17,000 Jemaah Malaysia Kini Berada Di Tanah Suci

MAKKAH: Sebanyak 16,944 jemaah haji Malaysia kini telah pun berada di Tanah Suci Makkah, menjelang 11 hari lagi hari wukuf yang dijangka pada 22 September (9 Zulhijjah).

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata jumlah itu merupakan 76 peratus daripada keseluruhan 22,320 jemaah haji Malaysia bagi musim haji 1436H ini.

"Semua jemaah Malaysia kini berada di Makkah, berbaki 13 lagi penerbangan (yang akan tiba dari tanah air), dan penerbangan terakhir dijadualkan tiba di Jeddah pada 16 September ini," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau yang juga Pengurus Besar Kanan Tabung Haji (TH) berkata semua perkhidmatan TH di Makkah juga beroperasi sepenuhnya dan tumpuan kini lebih menjurus kepada persiapan untuk operasi masyair (pergerakan jemaah ke  Arafah, Muzdalifah dan Mina).

Syed Saleh berkata dua siri penerangan akan diadakan untuk jemaah haji iaitu berkaitan pelaksanaan ibadat haji dan taklimat berkenaan operasi masyhar.

"Mereka (jemaah haji) akan diberikan taklimat berkenaan ibadat haji dan operasi masyair, jemaah haji akan berada selama enam hari lima malam di Arafah, Muzdalifah dan Mina, mereka perlu memantapkan lagi pengetahuan berkenaan ibadat haji, selain menjaga kesihatan, mereka akan berada di sana bermula 8 Zulhijjah sehingga 13 Zulhijjah," katanya.

Beliau turut menasihati jemaah haji supaya menjaga kesihatan berikutan cuaca panas melebihi 40 darjah Celsius di Makkah.

"Cuaca di Makkah kini melebihi 40 darjah Celsius, selain berlaku hujan dan ribut pasir. Jemaah haji dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.

"Petugas-petugas TH juga (unit peronda) bertugas di sekitar Masjidil Haram, dan di laluan antara maktab (penginapan) ke masjid. Mereka akan menasihatkan jemaah supaya kekal di maktab atau di masjid apabila berlaku hujan atau ribut pasir, yang setakat ini (ribut pasir) berlaku sekali (Selasa lepas)," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr Ahmad Faudzi Yusoff meminta jemaah haji menekankan aspek penjagaan kesihatan sebagai persiapan untuk melaksanakan ibadat haji semasa hari wukuf nanti.

"Kebanyakan jemaah haji yang mendapatkan rawatan di hospital, klinik dan pusat rawatan TH adalah berkaitan masalah penafasan dan batuk, jemaah perlulah kurangkan aktiviti luar dan banyakkan minum air," katanya.-- Bernama



haji, Makkah, Malaysia

Artikel Lain