suria

Helikopter Untuk Operasi Bencana Aset Baharu APMM - Shahidan

Shahidan Kassim (tiga kanan) ketika menyempurnakan majlis pemakaian pangkat kepada Ahmad Puzi pada Jumaat. - fotoBERNAMA

LANGKAWI: Aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan dilengkapi dengan sebuah helikopter pelbagai guna untuk operasi pengurusan bencana, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah bersetuju dengan cadangan pembelian helikopter itu yang boleh digunakan dalam semua keadaan cuaca dan dianggarkan berharga RM50 juta.

"Perdana Menteri telah bersetuju secara dasarnya, jadi pembelian akan dibuat. Walaupun sekarang kita (kerajaan) menghadapi kekangan ekonomi tetapi ini keperluan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara pemakaian pangkat ke atas Ketua Pengarah APMM baharu, Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar di sini, Jumaat.

Katanya berbanding helikopter lain yang hanya dapat memuatkan enam hingga lapan orang sahaja dalam satu-satu masa, helikopter yang hendak dibeli ini mampu memuatkan sehingga 20 orang.

Menurutnya pembelian helikopter itu sejajar dengan keputusan Kabinet untuk meletakkan APMM dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara.

Shahidan berkata APMM juga akan diperuntukkan dengan lebih banyak bot pancung untuk operasi dan rondaan di kawasan-kawasan perkampungan air di negara ini yang tidak dapat dimasuki oleh bot yang lebih besar.

"APMM sudah ada (memiliki) bot-bot pancung yang digunakan untuk membuat rondaan dan operasi di kawasan ESSCOM (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) dan kita akan menambah jumlahnya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata APMM akan menggiatkan lagi usaha memperkenalkan skim Sukarelawan Maritim khususnya dalam kalangan komuniti nelayan di negara ini dengan sasaran 50,000 anggota dicapai dalam tahun ini.

Katanya skim itu akan turut diperkenalkan di peringkat sekolah menerusi penubuhan Pasukan Kadet Maritim.

APMM, Shahidan Kassim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain