suria

Mengejutkan WSJ Guna Maklumat Sulit Dalam Laporannya - 1MDB

PETALING JAYA: 1Malaysia Development Bhd mengkritik Wall Street Journal (WSJ) kerana menggunakan maklumat sulit daripada siasatan jawatankuasa parlimen, yang masih belum dibentangkan di Parlimen.

"Kami terkejut apabila penerbit ternama seperti Wall Street Journal dengan jelas akan menggunakan maklumat sulit dalam laporan mereka.

"Kami secara khusus merujuk kepada WSJ yang mengesahkan bahawa ia telah mengkaji 'transkrip prosiding', daripada satu jawatankuasa parlimen yang menyiasat 1MDB, di mana satu-satunya sumber yang mungkin adalah pendengaran Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) terhadap 1MDB.

"Peraturan Mesyuarat Parlimen Malaysia dengan jelas menyatakan bahawa 'bukti yang diambil sebelum sebarang Jawatankuasa Pilihan dan sebarang dokumen yang dikemukakan kepada Jawatankuasa itu tidak boleh disiarkan oleh mana-mana ahli Jawatankuasa, atau oleh mana-mana orang lain, sebelum Jawatankuasa membentangkan laporannya kepada Dewan," kata 1MDB dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ia berkata tindakan WSJ adalah sesuatu yang mungkin melanggar undang-undang Malaysia yang dibuat oleh sebuah penerbitan asing yang sepatutnya dihormati.

"Kami lebih bimbang mengenai siapa yang terlibat dalam perbicaraan PAC yang mungkin telah membocorkan transkrip ini, yang jelas ia merupakan satu percubaan untuk menjejaskan siasatan PAC dan menafikan hak 1MDB untuk melalui proses sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang Malaysia.

"1MDB menggesa pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat perkara ini dengan teliti dan mengambil segala tindakan yang perlu untuk mengekalkan integriti proses dan Peraturan Mesyuarat," katanya Rabu.
1MDB, WSJ, maklumat sulit, PAC