suria

Nurul Izzah Hantar Surat Tuntutan Kepada Dua Akhbar Harian

Nurul Izzah
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar telah menghantar satu surat tuntutan kepada dua akhbar harian berhubung artikel yang diterbitkan yang mengaitkannya dengan warga Swiss, Xavier Andre Justo.

Justo, dalam artikel yang diterbitkan oleh New Straits Times dan Berita Harian, mendakwa Nurul telah menawarkan kepadanya untuk memberi kontrak kerajaan apabila pembangkang berkuasa.

"Saya melalui peguam saya, telah mengeluarkan surat tuntutan kepada kedua-dua akhbar, Berita Harian dan New Straits Times.

"Mereka perlu bertindak balas dalam tempoh 48 jam sebelum saya menyaman kedua-dua penerbitan. Surat tuntutan dikeluarkan pada Selasa, kita akan menunggu tempoh 48 jam untuk dan seterusnya akan membuat tindakan sewajarnya. Laporan itu adalah palsu," kata Nurul Izzah dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini Rabu.

Tambahnya, artikel yang mendakwa hubungan antara beliau dan Justo adalah sengaja dipesongkan daripada persoalan umum yang dibangkitkan terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Justo, adalah bekas eksekutif teknologi maklumat berusia 49 tahun yang didakwa mencuri data mengandungi maklumat sulit mengenai usaha sama antara PetroSaudi International dan 1MDB, dan dikatakan bersetuju untuk menjualnya kepada sekumpulan individu dari Malaysia.

Semasa berada dalam tahanan reman oleh polis Thai, dia menandatangani pengakuan penuh memperincikan bagaimana dia telah menemui sekumpulan ahli politik dan pemilik media Malaysia yang didakwa cuba menggunakan maklumat yang dicuri untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justo, yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama tiga tahun di Thailand, bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa dokumen-dokumen yang dicuri daripada bekas majikan beliau telah diganggu.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Nurul Izzah menafikan ada membuat tawaran untuk memberi kontrak kerajaan kepada Justo sebagai pertukaran maklumat mengenai 1MDB, mengatakan bahawa beliau tidak pernah bertemu Justo sebelum ini.

Katanya, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap akhbar-akhbar berkaitan selepas dua penerbitan membuat dakwaan dalam laporan beritanya.

"Persoalan sebenar bukanlah mengenai Xavier Justo sebagai seorang yang dipanggil pencuri dokumen," kata Nurul Izzah, sambil menambah apa yang perlu ditekankan adalah kandungannya termasuklah apa yang disiarkan dalam Wall Street Journal, Sarawak Report dan The Edge.

The New Straits Times pada Selasa melaporkan bahawa Justo mengaku membuat tuntutan tunai RM8.7 juta sebagai pertukaran maklumat dan telah menolak tawaran kontrak kerajaan Nurul Izzah.

Artikel Lain