suria

Pembunuhan Pengasas Ambank: Pemandu Teksi Tahu Lokasi Pistol, Peluru

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu diberitahu, pemandu teksi Chew Siang Chee yang disabitkan memiliki pistol dan empat butir peluru hidup berhubung kes pembunuhan pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (Ambank) Hussain Ahmad Najadi mempunyai pengetahuan dalam pemilikan senjata api terbabit.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah bahawa perbuatan tertuduh yang menunjukkan lokasi pistol dan peluru membuktikan hanya dia mengetahui tempat itu.

"Lagipun pintu peti surat itu berkunci, jika ia tidak berkunci mungkin boleh kita katakan dia tidak tahu mengenai perkara itu (pistol dan peluru).

"Oleh itu, saya memohon kepada mahkamah supaya menolak rayuan tertuduh dan mengekalkan sabitan terhadapnya," katanya dalam hujahan di hadapan Hakim Kamardin Hashim, berhubung rayuan Chew bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara kerana memiliki pistol dan peluru hidup.

Sementara itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Chew berhujah bahawa anak guamnya mempunyai pengetahuan terhadap kedudukan peti surat itu tetapi bukannya terhadap pemilikan pistol dan peluru.

"Tidak ada bukti yang menunjukkan tertuduh menyimpan pistol dan peluru di dalam peti surat itu kerana dia tidak tinggal di kondominium tersebut.

"Isteri tertuduh (saksi pendakwaan pertama) juga memberitahu polis bahawa tertuduh tidak mempunyai kunci peti surat itu," katanya.

Oleh itu, Hisyam berhujah bahawa tidak ada kes prima facie atas kedua-dua pertuduhan yang dibuat pihak pendakwaan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Oktober ini untuk keputusan bagi rayuan kes itu.

Pada 19 Ogos lepas Mahkamah Rayuan memerintahkan supaya Mahkamah Tinggi di sini mendengar semula rayuan Chew terhadap sabitan, hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan.

Pada 4 September tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin menolak rayuan Chew terhadap sabitan dan hukuman penjara itu tetapi meminda hukuman penjara kepada berjalan secara serentak dan dengan itu Chew hanya perlu menjalani hukuman penjara 10 tahun sahaja.

Chew, 46, merayu ke Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Sesyen mendapatinya bersalah memiliki sepucuk pistol jenis Walther dan empat butir peluru hidup di Kondominium Desa Cindaimas di Jalan Kuchai Lama, pada pukul 5.45 petang, 3 Ogos 2013.

Dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan bagi kesalahan memiliki pistol dan penjara empat tahun bagi kesalahan memiliki peluru.

Pada awalnya, Chew diperintah menjalani hukuman penjara itu secara berasingan berkuat kuasa daripada tarikh tangkap pada 30 Julai 2013.

Hussain Ahmad, 76, maut manakala seorang wanita cedera parah selepas ditembak ketika mereka keluar dari kawasan Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon di Kuala Lumpur pada 29 Julai 2013.

Ambank, Mahkamah Tinggi

Artikel Lain