suria

Sokong IS: Arkitek, Juruteknik Dihukum Penjara Dua Tahun

Mohd Syafrein (hadapan) dan Mohamad Yusoffe.

KUALA LUMPUR: Seorang arkitek dan seorang juruteknik masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini Rabu bagi kesalahan cuba memberi sokongan kepada kumpulan militan IS.

Hakim Kamardin Hashim memerintahkan arkitek Mohd Syafrien Rasid, 27, dan  juruteknik Mohamad Yusoffe Ishak, 27, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 25 September tahun lepas.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Kamardin berkata mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam dan rayuan pihak pembelaan bahawa kedua-dua tertuduh merupakan pesalah muda dan tidak mempunyai rekod lampau.

"Mahkamah juga mengambil kira hujahan pihak pendakwaan dan dalam kes ini kedua-dua tertuduh cuba memberi sokongan kepada IS. Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman munasabah dan setimpal dengan kesalahan dilakukan," katanya.

Mohd Syafrien dan Mohamad Yusoffe, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu mengambil penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke Istanbul, Turki dalam percubaan untuk memberi sokongan kepada IS dengan memasuki Syria melalui Istanbul bagi manfaat kumpulan itu. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kaunter Imigresen, Balai Perlepasan Antarabangsa, KLIA, Sepang pada 8.55 pagi, 25 September tahun lepas, mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda.

Mengikut fakta kes, Mohd Syafrien dan Mohamad Yusoffe berminat untuk berjihad selepas melihat video kekejaman yang dilakukan di Syria melalui laman sosial Facebook dan YouTube.

Mohamad Yusoffe, yang menggunakan nama Soffie Panji Hitam dalam akaun Facebook miliknya telah berbincang mengenai perancangan jihad di Syria manakala Mohd Syafrien turut menggunakan laman sosial Facebook untuk mengikuti perkembangan di negara itu.

Melalui laman sosial itu, kedua-dua tertuduh berkenalan dengan beberapa individu lain yang menunjukkan minat sama bagi mengumpul maklumat berkaitan peperangan di Syria yang kemudiannya dikongsi melalui aplikasi WhatsApp.

Mereka juga menyertai satu jaringan komunikasi dalam WhatsApp yang diberikan nama 'Jihad Fisabilillah' yang menjadi medan untuk mereka mengumpul maklumat diperoleh berkaitan dengan kumpulan pengganas IS di Syria.

Selain itu, mereka turut menyertai satu kumpulan dalam WhatsApp yang diberikan nama 'Melancong' untuk berbincang mengenai persiapan bagi menyokong kumpulan pengganas IS di Syria.

Antara perbincangan itu adalah mereka sanggup untuk 'mati syahid', mengorbankan diri sendiri bagi menegakkan perjuangan kumpulan pengganas IS.

Ketika rayuan bagi mengurangkan hukuman, peguam Nor Rabiatul Bahari mewakili Mohd Syafrien berkata, anak guamnya kesal atas kesalahan yang dilakukan dan tersilap langkah ketika membuat keputusan untuk menyokong kumpulan pengganas di Syria.

"Anak guam saya memohon supaya mahkamah memberikan peluang kedua untuk dia memperbaiki dirinya dan kembali ke jalan yang benar," kata peguam itu.

Peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, yang mewakili Mohamad Yusoffe berkata, anak guamnya yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama hanya mengetahui erti 'jihad' berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui media sosial dan internet.

"Ini menyebabkan tertuduh tersasar dalam memahami pengertian jihad yang sebenar," katanya sambil menambah anak guamnya bernasib baik kerana berpeluang untuk mempelajari ilmu agama dan ceramah ketika ditahan reman di Penjara Sungai Buloh. 

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan serius selain untuk menyedarkan kedua-dua tertuduh dan orang awam yang keliru dengan maksud jihad yang sebenar. - Bernama

IS

Artikel Lain