suria

Mesyuarat MT Umno: Tiada Yang Pelik Akan Berlaku - Annuar

KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa menjangkakan tiada perkara pelik yang bakal berlaku pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno petang Rabu.

Beliau yang juga Ahli MT Umno berkata, pelbagai spekulasi yang tersebar sememangnya tidak dapat dihalang tetapi ia tidak sepatutnya diterima sepenuhnya.

"Jangan spekulasi jadikan kita menggelabah, tak ada yang pelik-pelik yang akan berlaku," katanya ketika mengadakan kunjungan ke Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di sini, Rabu.

Mesyuarat MT Umno petang ini bakal menjadi perbualan ramai apabila ia akan dihadiri Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang digugurkan daripada Kabinet Julai lalu.

Malahan, timbul spekulasi kedua-duanya akan dipecat pada mesyuarat yang akan dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga pengerusi Mara berkata, mesyuarat parti itu boleh dianggap sebagai pertemuan sebuah keluarga besar dalam Umno.

"MT Umno adalah platform untuk kepimpinan parti berbincang, family affair.

"Apa yang berlaku satu dugaan, jangan anggap kami berpatah arang," katanya.

Beliau berkata, tindakan mensensasikan secara keterlaluan isu dalaman Umno dan pentadbiran kerajaan menyebabkan pelbagai persepsi timbul.

Bagaimanapun, katanya, semua kepimpinan parti yang berjawatan akan tetap menjalankan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin, sama ada di peringkat parti atau kerajaan.

Umno, Mara

Artikel Lain