suria

Kementerian Pendidikan Arahkan Kakitangan Bayar Balik PTPTN

SEREMBAN: Kira-kira 52,000 pegawai dan kakitangan di Kementerian Pendidikan, dengan kebanyakannya adalah guru berdepan risiko dibuang kerja sekiranya mereka tidak mengendahkan peringatan untuk membayar semula pinjaman pengajian mereka.

Kementerian itu berkata, peminjam yang gagal membuat bayaran balik dikehendaki membuat bayaran dengan segera kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menyediakan kemudahan pinjaman itu.

"Mereka yang terlibat perlu berbuat demikian," kata kementerian itu dalam satu arahan yang dikeluarkan.

Ia berkata, mengikut terma kontrak, bayaran balik pinjaman perlu dijelaskan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi.

Menurut kementerian, peminjam yang gagal tidak akan dipertimbangkan untuk sebarang kenaikan pangkat atau keistimewaan lain.

Ini termasuk peluang pemangkuan dan kenaikan pangkat yang boleh mencecah ratusan ringgit sebulan, serta Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

Bagaimanapun, tiada butiran mengenai berapa banyak yang dipinjam oleh 51,884 peminjam PTPTN yang berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan dan berapa lama mereka telah membuat pinjaman.

Terdahulu, PTPTN memberi amaran kepada para peminjam bahawa mereka akan disenaraikan di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan tidak boleh memohon sebarang pembiayaan kredit dari mana-mana institusi kewangan.

Kementerian Pendidikan turut menyatakan bahawa di bawah peraturan 4(2)(i) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sebagai peruntukan kepada arahan itu.

Arahan itu mengatakan bahawa tindakan tatatertib akan diambil termasuk dibuang kerja. 

Ketua Komunikasi Strategik dan Pemasaran PTPTN, Mastura Mohd Khalid menggesa para peminjam bersetuju dengan pemotongan gaji bagi membantu mereka membuat bayaran balik pinjaman.

Beliau berkata, jika mereka mempunyai masalah untuk membuat bayaran semula, mereka boleh berjumpa dengan pegawai PTPTN untuk melakukan pengstrukturan semula bayaran pembiayaan.

Menurut PTPTN, kira-kira 280,000 peminjam adalah penjawat awam.

PTPTN, Kementerian Pendidikan

Artikel Lain