suria

PAS Keluar Surat Tunjuk Sebab Kepada Ahli Sokong Parti Amanah

Mohd Amar Abdullah.

KOTA BARU: PAS Kelantan kini mula mengenal pasti anggotanya yang berkemungkinan akan menyertai parti alternatif Amanah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, PAS tidak mengambil peluang walaupun terdapat persepsi mengenai Amanah yang sebelum ini dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru tidak akan mendapat anggota PAS untuk menyertai parti itu.

"Kita akan menyusun senarai ahli PAS yang mempunyai kecederungan terhadap parti baharu ini.

"Kita akan memantau tindakan dan kenyataan umum mereka sebelum kita mengadakan mesyuarat bersama jawatankuasa PAS pusat," katanya.

PAS dalam mesyuarat jawatankuasa PAS pusat pada 11 September depan akan membincangkan mengenai apakah tindakan mereka terhadap 'pengkhianat' ini.

"Amanah merupakan racun kepada PAS," katanya sambil menambah walaupun Amanah mengalami kesukaran untuk membawa masuk pengaruh ke Kelantan, namun parti itu tidak akan membiarkan peluang tersebut dilepaskan begitu sahaja.

Timbalan Menteri Besar itu berkata, Amanah boleh menjatuhkan PAS dalam pilihan raya umum ke-14 kerana parti tersebut akan bertanding di kawasan PAS.

"Dan jika undi berpecah kepada tiga, Umno akhirnya akan memenanginya.

"Saya tidak faham mengapa Amanah masih berkeras untuk menubuhkan parti yang sudah pastinya memberi manfaat kepada Umno," katanya.

Mohd Amar berkata, jawatankuasa tatatertib akan mengikut garis panduan dalam perlembagaan parti bagi menjalankan tindakan terhadap pengkhianat parti yang menyertai Amanah.

"Surat tunjuk sebab akan dikeluarkan kepada ahli yang disyaki menyokong Amanah," katanya.

Beliau menambah, mereka kemudiannya akan diberikan surat amaran dan penggantungan atau digugurkan keanggotaan parti.

Jelasnya, sebarang kenyataan atau tindakan yang dibuat oleh anggota PAS termasuk anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Umar Nik Abdul Aziz akan diteliti.

Antara nama-nama besar yang telah diserahkan untuk tindakan tatatertib ialah pesuruhjaya bahagian Kota Baru, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli.

Amanah, PAS, Gerakan Harapan Baru

Artikel Lain