suria

Banduan warga Pakistan lolos dari Penjara Sungai Buloh akhirnya berjaya diberkas semula

Banduan warga Pakistan dikenali sebagai Muhammad Hassan diberkas semula pada petang Sabtu.

BANDUAN warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh pada 9 April lalu akhirnya berjaya diberkas semula, petang Sabtu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan, suspek ditangkap kira-kira pukul 5 petang di Jalan Batu 14, Jalan Gombak Lama, Gombak, hasil operasi bersepadu serta kerjasama pelbagai pihak.

"Polis Selangor merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang membantu sehingga banduan tersebut berjaya ditangkap bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan polis sedang giat memburu tahanan reman warga asing tersebut selepas dia meloloskan diri dari Penjara Sungai Buloh, pada 9 April. 

Difahamkan, suspek berdepan beberapa pertuduhan termasuk kesalahan berkaitan imigresen dan kes seksual terhadap kanak-kanak.

Pada hari kejadian, suspek baru selesai menjalani prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam berkaitan kes seksual terhadap kanak-kanak, rompakan dan kesalahan imigresen.

Bagaimanapun setibanya di padang kawad Penjara Sungai Buloh, suspek dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, meloloskan diri ketika turun dari kenderaan polis.

Artikel Lain